Prime Target merupakan siri terbaru di Apple TV+ yang memfokuskan kepada Edward Brooks lakonan Leo Woodall. Dia merupakan seorang pelajar pasca siswazah di Universiti Cambridge dan mempunyai kepakaran di dalam bidang matematik. Walaupun seorang yang genius, akan tetapi dia mempunyai masalah untuk berhubung kerana terlalu fokus di dalam kajiannya untuk mencari corak untuk nombor perdana. Seorang lagi watak yang menjadi fokus di dalam siri ini ialah Taylah Sanders lakonan Quintessa Swindell yang merupakan seorang ejen Nasional Security Agency (NSA) dan tugasnya melakukan pemerhatian pakar-pakar matematik dan membuat laporan kajian-kajian mereka.

Siri ini bermula dengan Edward Brooks terpaksa mencari pensyarah baharu untuk menyelia kajiannya kerana pensyarahnya yang lama iaitu Profesor Raymond Osborne lakonan Joseph Mydell mengalami simptom nyanyuk, dan dia Professor Robert Mallinder lakonan David Morrissey menjadi pensyarah baharu. Namun, selepas Robert Mallinder menyedari yang Edward Brooks melakukan kajian untuk mencari corak bagi nombor perdana, dia meminta Edward Brooks untuk meninggalkan kajian tersebut, tidak cukup dengan itu, dia juga telah merampas kesemua hasil kerja Edward Brooks dan membakarnya.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila tidak lama selepas itu Robert Mallinder didapati telah membunuh diri, dengan Robert Mallinder juga di bawah pemerhatian Taylah Sanders, dia menyedari kesemua yang berlaku ini dan membuat laporan kepada ketuannya. Tidak lama selepas laporan tersebut di buat, ketuanya telah dibunuh yang membuatkan Taylah Sanders menyedari ada sesuatu yang ingin disorok oleh organisasi tertentu mengenai kajian yang dilakukan oleh Edward Brooks, dia sedar yang Edward Brooks juga di dalam keadaan yang berbahaya.

Taylah Sanders memberitahu Edward Brooks yang dia menjadi sasaran organisasi tertentu dan ia berkait dengan kajiannya mengenai nombor perdana. Menurut Taylah, jika Edward berjaya di dalam kajiannya, kajian tersebut boleh digunakan untuk membuka segala penyulitan yang dilakukan oleh komputer yang menggunakan nombor perdana sebagai asas utama. Dengan kata lain, jika Edward berjaya, dia boleh mendapatkan akses kepada kesemua perisian ataupun komputer di dunia ini. Bersama dengan Taylah, Edward cuba untuk meneruskan kajiannya dan pada masa sama menyiasat mengenai organisasi yang memburu mereka berdua.
Siri ini mempunyai idea yang menarik berkait dengan genius matematik, nombor prima, konspirasi mengenai organisasi rahsia, tetapi malangnya ia tidak dikembangkan dengan baik dan membawa satu penceritaan yang sedikit membosankan. Masalah utama di dalam siri ini adalah Edward Brooks dan Taylah Sanders bukan dua watak utama yang menarik, bukan masalah lakonan kerana saya boleh katakan Leo Woodall dan QUintessa Swindell melakukan kerja yang baik di dalam penyampaian akan tetapi penulisan untuk watak-watak ini meninggalkan perasaan yang tidak puas. Sepanjang 8 episod, saya tidak boleh nyatakan jika ada adegan yang mengetengahkan kedua-dua watak ini dengan baik.

Edward Brooks walaupun seorang pakar matematik tidak sangat dapat menggunakan kepakarannya kerana penceritaan tidak sangat memerlukannya, sebaliknya dia lebih kepada mencari kajian-kajian sebelum ini yang juga mempunyai konspirasi tersendiri termasuk juga berkait dengan ‘Bayt al-Hikmah’ di Iraq. Edward Brooks juga sering bercakap mengenai konspirasi-konspirasi di dalam sejarah matematik yang menarik tetapi bagaikan dilupakan kerana tidak dikembangkan selepas itu.
Taylah Sanders sebagai ejen NSA lebih mempunyai penglibatan berkait dengan kepakarannya akan tetapi ia juga terasa kurang menarik kerana walaupun seorang ejen, jelas kelihatan yang dia tidak berpengalaman di lapangan melalui pilihan dan keputusan yang dibuat terasa amatur. Kebanyakan perkara yang dilakukan olehnya lebih kepada meminta Edward untuk melakukan sesuatu ataupun menjelaskan kepada Edward mengapa kajiannya berbahaya. Konflik di antara Taylah dan Edward juga tidak dilakukan dengan baik ada masa saya tidak faham apa yang mereka sedang berdebat.

Satu perkara yang siri ini tidak kurang adalah konspirasi ataupun cabang plot, ia menyertakan beberapa organisasi berbeza yang mempunyai sasaran utama, namun oleh kerana bagaimana ia disampaikan, saya sedikit hilang minat dengan mana-mana organisasi ini. Jelas mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan Edward Brooks ataupun menyelesaikan sendiri kajian tersebut, tetapi siri ini tidak jelas di dalam menyampaikan motif ataupun perancangan mereka yang membuatkan bahagian ini terasa kurang jelas dan kurang menarik. Ada beberapa organisasi yang menjadi dalang di dalam kejadian di dalam siri ini, namun sehingga akhir episod, organisasi ini tidak terasa menarik selain daripada mereka melakukan perkara-perkara yang terlampau.
Saya boleh katakan yang siri ini menjadi lebih menarik di dua episod terakhir, dan Edward Brooks juga lebih menarik di dua episod ini yang membuatkan saya merasakan yang musim ini hanya dibina untuk memperkenalkan Edward Brooks bagi musim-musim yang akan datang. Jika ia menerima musim baharu, dan tidak lagi perlu membawa bagasi pengenalan watak, ataupun konspirasi bagi musim ini, tambahan pada itu bagaimana siri ini berakhir, memberi potensi untuk musim selanjutnya menjadi lebih menarik. Namun, menggunakan satu musim sebagai permulaan untuk musim seterusnya bukanlah langkah yang baik kerana ia boleh membuatkan penonton kurang berminat, seperti yang hampir terjadi kepada saya.

Akhir kata, Prime Target mempunyai idea atau premis yang baik, berkait dengan dunia matematik, konspirasi organisasi perisikan dan juga sejarah-sejarah akademik. Namun, kesemua ini tidak dikembangkan dengan baik, penyampaian bercelaru yang membuatkan ia menjadi kurang menarik. Ini ditambah lagi, dua watak utama iaitu Edward Brooks dan Taylah Sanders walaupun di bawa dengan baik, tetapi watak mereka tidak diberi ruang yang mencukupi untuk berkembang ataupun menjadi lebih menarik. Siri ini berakhir dengan memberi harapan yang ia boleh menjadi lebih menarik pada musim seterusnya, oleh itu kita perlu berharap yang ia akan menerimanya.
Dua episod pertama Prime Target sudah boleh ditonton di Apple TV+ dengan 6 episod seterusnya akan tiba secara mingguan.