Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsi-kan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.
Bagi minggu ini, berikut adalah 5 kandungan menarik yang anda boleh strim:
Severance (Musim 2)
Platform: Apple TV+
Severance kembali untuk musim kedua dengan episod baharu akan tiba secara mingguan, siri ini memfokuskan kepada Mark Scout lakonan Adam Scott yang merupakan pekerja di syarikat Lumon Industries. Dia telah bersetuju untuk menyertai program “Severance” iaitu memori berkait dengan pekerjaan akan diasingkan dengan kehidupan biasa.
Back in Action
Platform: Netflix
Filem yang menggandingkan semula Jamie Foxx dan Cameron Diaz setelah sekian lama, filem ini adalah mengenai Emily lakonan Cameron Diaz dan Matt lakonan Jamie Foxx merupakan bekas perisik untuk CIA yang sudah bersara selepas memulakan keluarga, akan tetapi mereka terpaksa kembali menjadi perisik kerana identiti mereka didedahkan. Filem ini diarahkan oleh Seth Gordon dan ditulis oleh beliau bersama dengan Brendan O’Brien.
Castlevania: Nocturne (Musim 2)
Platform: Netflix
Dengan Revolusi Perancis memuncak semasa musim kedua ini, Richter Belmont perlu berjuang untuk mempertahankan legasi keluarganya dan juga mengelak daripada vampire mendapat kuasa untuk memerintah negara tersebut. Seperti musim pertama, musim ini juga mempunyai 8 episod dan kesemuanya sudah boleh ditonton.
Unmasked
Platform: Disney+ Hotstar
Siri Korea terbaru ini memfokuskan kepada rancangan TV yang digelar sebagai Trigger, ia adalah rancangan yang menyiasat mengenai pelbagai kes yang mungkin terlepas pandang oleh polis. Trigger diketuai oleh Oh So-ryong lakonan Kim Hye Soo yang akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan maklumat termasuk juga perkara yang membahayakan pekerjanya.
Baca: Unmasked – Kisah Berat Disampaikan Dengan Penuh Jenaka
Tokyo Salad Bowl
Platform: Prime Video

Siri ini memfokuskan kepada Koda Mari seorang anggota polis yang memfokuskan kes-kes berkait dengan warga asing di Tokyo, dia mendapat bantuan daripada Arikino Ryo iaitu seorang penterjemah bahasa Cina untuk polis, tetapi meninggalkan pekerjaan tersebut selepas satu kejadian. Selain menyelesaikan pelbagai jenayah, mereka juga sering makan makanan daripada negara-negara berlainan.