Nintendo akhirnya mengumumkan secara rasmi wujudnya Nintendo Switch 2 melalui satu video pengumuman yang dikongsi semalam. Mereka tidak hadir dengan pengumuman lanjut mengenainya, kerana ia akan dilakukan semasa Nintendo Direct khusus pada 2 April kelak, akan tetapi berdasarkan video sudah boleh dilihat beberapa perkara menarik untuk konsol generasi baharu oleh Nintendo ini.
Melalui artikel ini, saya akan kongsikan perkara-perkara menarik daripada video ini akan tetapi oleh kerana ia berdasarkan video sahaja, ia sekadar bersifat jangkaan ataupun spekulatif sahaja dengan pengesahan perlu kita nantikan bersama-sama.
1. Skrin Yang Lebih Besar

Jika melihat perbandingan yang dilakukan dalam video, Nintendo Switch 2 mempunyai saiz skrin yang lebih besar berbanding Nintendo Switch OLED yang mempunyai saiz skrin 7-inci. Berdasarkan ura-ura sebelum ini, Nintendo Switch 2 akan menggunakan panel LCD dengan saiz skrin 8-inci.
2. Tambahan Port USB-C Di Bahagian Atas

Selain mengekalkan port USB-C di bahagian bawah untuk pengecasan dan juga digunakan bersama dengan dermaga, Nintendo Switch 2 juga akan menyertakan satu lagi port USB-C di bahagian atas bersebelahan dengan picu audio. Ini boleh digunakan untuk bermain secara handheld tetapi dengan mengecas dan tidak akan terlalu mengganggu ataupun untuk digunakan dengan aksesori.
3. Pendiri Yang Lebih Fleksibel

Nintendo Switch 2 menyertakan rekaan baharu untuk pendiri, ia mengikuti rekaan seperti Nintendo Switch OLED tetapi tidak menggunakan keseluruhan bahagian belakang konsol, selain itu ia juga boleh diturunkan dengan lebih rendah.
4. Joy-Con Lebih Panjang

Dengan saiz skrin untuk Nintendo Switch menjadi lebih besar, tidak mengejutkan yang joy-con untuknya juga perlu dipanjangkan lagi. Buat masa ini tidak boleh dikatakan yang jika butang di joy-con menjadi adalah lebih besar ataupun tidak akan tetapi joy-con di bahagian kanan kelihatan ada satu butang tambahan.
5. Joy-con Boleh Digunakan Sebagai Tetikus

Ini merupakan satu fungsi yang tidak tertiris dan tidak disahkan, akan tetapi diperlihatkan di dalam video yang joy-con digunakan dengan menggesel di atas permukaan seperti tetikus, melalui penggunaan wrist straps. Ia mungkin cara input yang baharu, dan juga mungkin sebab mengapa joy-con di bahagian kana mempunyai satu butang tambahan.
6. Joy-con Menggunakan Sambungan Baharu

Joy-con di Nintendo Switch 2 juga tidak lagi akan disambung ke konsol dengan memasukkannya dari atas, sebaliknya ia dari tepi dengan terdapat penyambung baharu di konsol. Perkara ini tidak boleh disahkan, akan tetapi berkemungkinan besar yang akan terdapat magnet di bahagian tepi untuk memastikan joy-con melekat dengan kemas di konsol.
7. Rekaan Baharu Dermaga

Dermaga untuk Nintendo Switch 2 juga menerima sedikit perubahan rekaan dengan bahagian atas mempunya lengkungan yang lebih jelas berbanding sebelum ini. Selain itu, logo Nintendo Switch 2 juga menggantikan logo Nintendo Switch.
8. Joy-con Grip Baharu

Dengan perubahan cara pemasangan joy-con di konsol, joy-con grip juga menyertakan perubahan yang sama dengan joy-con akan dipasang dan dibuka daripada tepi. Selain itu, rekaan masih sama dengan sekadar perubahan logo.
9. Menyokong Keserasian Belakang

Seperti yang diura-urakan sebelum ini, Nintendo telah mengesahkan yang Nintendo Switch 2 boleh memainkan permainan Nintendo Switch termasuk juga melalui penggunaan kartrij yang sama. Namun, terdapat sesetengah permainan Nintendo Switch mungkin tidak menyokong Nintendo Switch. Ia mungkin merujuk kepada permainan yang memerlukan penggunaan perkakasan seperti Nintendo Labo.
Selain itu, Nintendo juga mengesahkan yang Nintendo Switch 2 juga akan menerima permainan eksklusif di konsol itu sahaja, menandakan akan ada permainan yang tidak boleh dimainkan di Nintendo Switch.
10. Nintendo Direct Berlangsung 2 April 2025

Nintendo telah mengumumkan yang Nintendo Direct khusus untuk Nintendo Switch 2 akan berlangsung pada 2 April 2025, berkemungkinan besar untuk mereka mengumumkan tarikh pelancaran, harga dan permainan-permainan yang akan tiba untuk konsol ini.
11. Mario Kart Baharu Diperlihatkan

Permainan Mario Kart baharu mungkin menjadi permainan pertama diperlihatkan oleh Nintendo untuk Nintendo Switch 2. Permainan yang mungkin dipanggil sebagai Mario Kart 9 ini juga menyertakan satu perubahan yang agak menarik iaitu ia kini menyokong 24 pemain pada satu masa, ini boleh dilihat melalui kotak kereta yang disertakan.