Nintendo hari ini telah mengumumkan secara rasmi konsol generasi baharu mereka iaitu Nintendo Switch 2 melalui treler pandang pertama bagi konsol tersebut yang anda boleh tonton di bawah.
Berdasarkan treler diperlihatkan yang konsol ini akan menyertakan skrin dengan saiz yang lebih besar, rekaan baharu untuk Joy-con yang juga menggunakan cara sambungan yang berlainan. Badan konsol juga dilengkapi dengan pendiri yang lebih fleksibel dengan menyokong pelbagai darjah kedudukan.
Bagi dermaga pula, konsol akan mempunyai bahagian yang kelihatan di atas, dan berdasarkan beberapa perkongsian, ia boleh digunakan untuk memaparkan maklumat tertentu seperti jam, membolehkan ia digunakan sebagai jam di bilik tidur contohnya.

Selain itu, Nintendo juga telah mengesahkan yang Nintendo Switch 2 menyokong permainan Nintendo Switch secara digital dan juga fizikal. Mereka juga mengatakan yang akan terdapat permainan yang akan dilancarkan secara eksklusif untuk konsol terbaru ini.
Mereka masih tidak mengumumkan tarikh pelancaran tetapi mengatakan ia akan tiba sekitar tahun ini dan Nintendo Direct untuknya akan berlangsung pada 2 April 2025.