Selepas kejayaan pasukan dari Indonesia untuk memenangi Predator League Asia Pasifik 2025 bagi permainan Valorant, hari ini giliran Team Helios untuk mencuba memberikan kejuaraan kedua bagi negara tersebut, akan tetapi harapan tersebut tidak tercapai apabila Myth Avenue Gaming (MAG) dari Malaysia menjadi juara selepas menang dengan skor 2-0.

MAG sebelum ke peringkat Separuh Akhir telah menjuarai kumpulan mereka sebelum mengalahkan pasukan Ivory dari Filipina di peringkat Separuh Akhir yang juga berlangsung hari ini. Di peringkat Akhir, Team Helios memberi cabaran akan tetapi MAG bermain dengan baik di lewat pusingan untuk memastikan kemenangan bersih.
Selaku juara, mereka membawa pulang hadiah tunai $65 ribu, manakala Team Helios membawa pulang $20 ribu selaku naib juara. Dua lagi pasukan Malaysia iaitu Sentry Symphony Esports dan TK Esports tidak melepasi peringkat kumpulan.

Selain kejohanan esukan, pengunjung Predator League Asia Pasifik 2025 hari ini juga menerima menyaksikan persembahan oleh Aina Abdul, Sandara Park, dan Minzy. Di akhir acara, Acer juga telah mengumumkan yang lokasi untuk Predator League Asia Pasifik 2026 adalah India.