Skip to main content

Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsikan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.

Bagi minggu ini, berikut adalah 5 kandungan menarik yang anda boleh strim:

American Primeval

Platform: Netflix

Sebuah siri mini Netflix yang mengisahkan kehidupan awal Amerika, menonjolkan perjuangan dan konflik ketika peneroka, puak asli, dan alam sekitar bertembung. Dihasilkan oleh Mark L. Smith, siri ini dibintangi oleh Taylor Kitsch sebagai watak utama yang terlibat dalam pergelutan untuk terus hidup. Kisah ini menyentuh tema kekerasan, komuniti, kepercayaan, dan kelangsungan hidup, sambil meneroka pembentukan identiti sebuah negara.

The Walking Dead: The Ones Who Live

Platform: Disney+ Hotstar

The Walking Dead: The Ones Who Live ialah siri sampingan daripada francais The Walking Dead, menumpukan kisah Rick Grimes lakonan Andrew Lincoln dan Michonne lakonan Danai Gurira. Siri ini mengisahkan usaha mereka untuk bersatu semula di tengah dunia pasca-apokaliptik. Siri ini memfokuskan kepada cabaran baharu yang dihadapi oleh dua watak ikonik ini.

On Call

Platform: Prime Video

On Call merupakan siri drama yang mengikuti kehidupan harian dua pegawai polis di Long Beach, California. Dibintangi oleh Trorian Bellisario sebagai Traci Harmon dan Brandon Larracuente sebagai Alex Diaz yang merupakan polis baharu, siri ini menampilkan cabaran unik yang dihadapi oleh pegawai barisan hadapan ketika mereka bertindak balas terhadap pelbagai panggilan kecemasan dan juga menghadapi pelbagai permasalahan yang lain.

The Pitt

Platform: Max

Siri drama medikal ini memfokuskan kepada kisah di bilik kecemasan, 15 episod untuk siri ini akan memperlihatkan 15 jam bagi satu shift yang berterusan. Siri ini melibatkan Noah Wyle sebagai Doktor Michael Rabinavitch, Tracy Ifeachor sebagai Doktor Collins, Patrick Ball sebagai Doktor Langdon dan Katherine LaNasa sebagai Dana Evans. Dua episod pertama yang berjudul 7 A.M dan 8 A.M sudah disiarkan dengan episod seterusnya akan tiba secara mingguan.

Gladiator II

Platform: Apple TV, Google TV (Beli/Sewa)

Gladiator II merupakan filem susulan epik klasik Gladiator arahan Ridley Scott. Berlatarbelakangkan era Rom kuno, filem ini mengikuti kisah Lucius lakonan Paul Mescal, anak kepada Lucilla dan anak saudara Commodus, yang kini dewasa dan menghadapi cabaran untuk menentukan nasibnya di tengah dunia yang penuh kekuasaan dan pengkhianatan.

Baca: Ulasan Gladiator II

Leave a Reply