Dengan populariti platform penstriman kian meningkat, begitu juga dengan penawaran siri TV yang tidak lagi terhad kepada “TV” sahaja. Platform penstriman telah hadir dengan pelbagai jenis siri TV, termasuk juga siri pendek yang mempunyai kurang daripada 10 episod dan juga siri tradisional yang mempunyai lebih 20 episod untuk satu musim.
Agar sukar untuk kami tonton kesemua siri TV yang diterbitkan pada tahun ini akan tetapi daripada kesemua yang kami tonton berikut merupakan siri TV terbaik tahun 2024:
10. The Gentlemen
Platform: Netflix
Dihasilkan oleh Guy Ritchie berdasarkan dunia yang diperkenalkan di dalam filem beliau yang berjudul sama, siri ini berjaya untuk membawa satu penceritaan baharu dengan watak-watak yang berbeza tetapi masih terasa satu susulan terus daripada filem. Setiap episod siri ini sentiasa terisi dengan pelbagai kejadian yang menarik, mengejutkan dan juga yang akan membuatkan anda ketawa terbahak-bahak. Dialog untuknya juga dihasilkan dengan baik menjadikannya tidak membosankan.
Baca: Ulasan The Gentlemen (2024)
9. Squid Game (Musim 2)
Platform: Netflix
Squid Game mempunyai satu kerja yang sukar untuk meneruskan lagi penceritaan dengan segala kejutan mengenai premis penceritaan sudah diperlihatkan di musim pertama, namun musim kedua ini berjaya untuk menambah beberapa perkara baharu yang masih memberikan setiap episod ada perkara yang ingin diikuti secara dekat. Pengenalan beberapa watak baharu juga dilakukan dengan baik dengan setiap daripada mereka membawa sesuatu yang berbeza untuk bersama dengan watak-watak yang sudah tiba sebelum ini.
8. Agatha All Along
Platform: Disney+ Hotstar
Seperti WandaVision, Agatha All Along juga membawa satu kelainan di dalam siri ini. Walaupun masih membawa penceritaan di dalam dunia MCU, tetapi siri ini menyertakan penceritaan yang boleh dianggap sebagai kendiri, dan penceritaan ini sangat menarik yang berkait dengan dunia sihir. Kekuatan siri ini terletak kepada kepelbagaian watak yang membawa dinamik berbeza dan juga penyampaian penceritaan yang ringan tetapi masih ada beberapa bahagian yang terasa berat terutama dari segi emosi.
7. Bad Monkey
Platform: Apple TV+
Kisah mengenai detektif yang bermasalah sudah menjadi kebiasaan di dalam siri TV, dan Bad Monkey membawa premis yang sama akan tetapi Vince Vaughn membawa wataknya dengan sangat baik walaupun di bawa dengan sangat santai. Siri ini bermula apabila tangan manusia dijumpai selepas tersangkut di joran, dan daripada dianggap sebagai kemalangan bot, ia menjadi satu konspirasi mengenai penipuan dan juga kes pembunuhan.
6. The Tyrant
Platform: Disney+ Hotstar
The Tyrant tidaklah membawa satu penceritaan yang unik berkait dengan entiti misteri yang boleh menjadi senjata dan menjadi rebutan kuasa-kuasa dunia, akan tetapi penyampaian siri ini berjaya untuk membawa penceritaan tersebut menjadi lebih menarik. Aksi-aksi yang diperlihatkan juga dilakukan dengan baik dan membuatkan siri ini boleh dianggap sebagai satu siri adiwira dan jika yang gemarkan aksi-aksi penuh darah, siri ini juga menyertakannya.
Baca: Ulasan The Tyrant
5. Dark Matter
Platform: Apple TV+
Siri ini berjaya untuk mengembangkan sesuatu konsep cereka sains dengan sangat baik, dan konsep ini telah digunakan untuk membawa penceritaan yang berbeza, permasalahan yang mendalam dan disampaikan dengan sangat baik sekali. Ia mengisahkan mengenai seorang suami yang telah dihantar ke dunia yang lain kerana versinya yang lain ingin merampas kehidupannya yang dibina di dunia tersebut. Ia menyentuh mengenai penyesalan dan juga kekeluargaan.
Baca: Ulasan Dark Matter
4. The Penguin
Platform: Max
The Penguin merupakan siri berdasarkan dunia Batman akan tetapi adiwira tersebut tidak perlu digunakan untuk menjadikan siri ini menarik dengan Colin Farrell membawa watak Penguin atau Oswald Cobb dengan sangat baik. Siri ini meneruskan terus penceritaan daripada filem The Batman, selepas kematian Carmine Falcone, takhta kuasa kongsi gelap tidak terisi dan menjadi rebutan pelbagai pihak dan Penguin perlu melalui ini dengan pelbagai helah terutama dengan Sofia Falcone anak kepada Carmine cuba untuk mendapat takhta tersebut.
3. Arcane (Musim 2)
Platform: Netflix
Musim kedua ini masih membawa satu siri animasi yang boleh dikatakan mengagumkan daripada setiap sudut, tidak kira animasi, lakonan suara dan juga penceritaan. Sebagai satu musim terakhir untuk kisah ini, terdapat banyak kisah yang cuba ingin disampaikan yang serba sedikit menjejaskan pengalaman kisah tersebut akan tetapi secara keseluruhannya ia masih satu siri yang akan menjadi perkara yang penting ataupun penanda aras untuk projek-projek animasi yang lain.
Baca: Ulasan Arcane (Musim 2)
2. Echo
Platform: Disney+ Hotstar
Kekuatan Echo adalah di dalam menyampaikan penceritaan yang matang dan serious, ia tidak cuba untuk menjadi satu siri yang ringan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan untuk projek-projek di dalam MCU. Echo juga boleh dianggap sebagai jawapan untuk Marvel dan Disney+ Hotstar kepada projek The Boys yang menyampaikan kisah adiwira tetapi secara ganas.
Baca: Ulasan Echo
1. Shogun
Platform: Disney+ Hotstar
Satu siri drama politik yang sangat berjaya di dalam penghasilannya. Setiap episod mempunyai sesuatu yang menarik dengan pelbagai lapisan, tidak kira mengenai politik, agama ataupun perkembangan perhubungan di antara watak. Mengambil kisah berdasarkan sejarah Jepun, siri ini disampaikan dengan penuh ketelitian, setiap watak, visual dan juga penulisan adalah sangat berkualiti yang memberi kepuasan kepada setiap penonton sama ada mereka meminati penceritaan sejarah ataupun tidak. Ia mungkin satu siri yang boleh dianggap sebagai “instant classic”.
Baca: Ulasan Shogun