Teka-teki mengenai projek seterusnya daripada Larian Studios akhirnya terjawab apabila pembangun permainan video terkenal itu mengumumkan permainan terbaharu dalam siri Divinity semasa acara The Game Awards 2025 yang berlangsung hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat melalui tayangan treler, yang sekaligus menamatkan spekulasi hangat mengenai “misteri paling kontroversi dalam dunia permainan”, merujuk kepada patung misteri yang muncul di gurun Mojave baru-baru ini. Simbol pada patung tersebut disahkan sepadan dengan logo baharu Divinity yang dipaparkan di akhir treler.

Dalam pengumuman tersebut, pengacara The Game Awards, Geoff Keighley, memperkenalkan projek itu sebagai sebuah permainan yang bakal menjadi “lebih besar daripada Baldur’s Gate 3,” karya terdahulu studio itu yang memenangi pelbagai anugerah utama. Walaupun butiran terperinci mengenai plot masih dirahsiakan, treler tersebut memaparkan rekaan yang lebih gelap dengan visual lelaki bermahkota yang dirantai serta elemen ritual yang mencadangkan nada yang lebih serius berbanding permainan sebelum ini.

Pengumuman ini hadir selepas Larian Studios sebelum ini mengesahkan bahawa mereka tidak akan meneruskan pembangunan Baldur’s Gate 4 atau sebarang kandungan tambahan untuk francais Dungeons & Dragons tersebut. Sebaliknya, studio yang berpangkalan di Belgium itu memilih untuk kembali kepada IP milik mereka sendiri.

Walaubagaimanapun, tajuk rasmi permainan ini masih belum didedahkan sepenuhnya, dengan pihak studio hanya merujuknya sebagai kesinambungan kepada saga Divinity. Sebelum ini, pengarah penerbitan Larian, Michael Douse, telah menafikan khabar angin bahawa mereka sedang membangunkan Divinity: Original Sin 3, yang mencetuskan tanda tanya sama ada ini merupakan sekuel langsung, spin-off, atau satu permulaan baharu untuk siri tersebut.

Setakat ini, tiada tarikh pelancaran atau platform rasmi diumumkan. Peminat kini menantikan maklumat lanjut daripada Larian Studios mengenai bagaimana mekanik permainan taktikal turn-based yang menjadi tanda dagang mereka akan berevolusi dalam judul baharu ini.

Leave a Reply