Acara kolaborasi di antara Mobile Legends: Bang Bang dan siri anime dan manga popular Naturo sedang berlangsung di dalam permainan, menambah lagi kehangatan kerjasama ini, Moonton juga telah mengumumkan penganjuran acara secara fizikal di Pavilion Bukit Jalil.
Penganjuran ini akan berlangsung sepanjang hujung minggu ini iaitu pada 10 hingga 11 Mei 2025 dengan acara seperti berikut:
- Naruto Run Parade: 30 cosplayer akan membuat perarakan di kesemua 6 tingkat pusat beli belah tersebut. Ia akan berlaku dua kali sehari iaitu pada 5.45 petang dan 7.30 malam pada 10 Mei dan 5.15 petang serta 7.30 petang pada 11 Mei.
- Cabaran 5-Peringkat: Pengunjung boleh melakukan cabaran Road to Legends dengan menyelesaikan misi-misi Ninja. Terdapat 5 peringkat yang perlu dilalui oleh pengunjung yang berminat untuk menguji kemahiran mereka.
- Persembahan Pentas: Pelbagai persembahan juga akan berlaku termasuk juga oleh Rejuvenate Dance Crew, Ismail Izzani dan Reezppiupiu. Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk berjumpa dengan pencipta kandungan seperti XKPenjahat, dan penganalisa veteran Mars.
Acara MLBB x Naruto telah berlangsung sejak 2 Mei lepas di mana pemain berpeluang untuk mendapatkan kostum empat pasukan Team 7 – Naruto Uzumaki (Lukas), Sasuke Uchiha (Suyou), Sakura Haruno (Kalea), dan Kakashi Hatake (Hayabusa) dan juga Gaara (Vale).
Mobile Legends: Bang Bang sudah dilancarkan untuk iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.