PUBG Mobile telah melancarkan kemaskini terbaru iaitu versi 3.8 yang akan menyertakan kandungan baharu sehingga 6 Julai 2025. Kemaskini ini antaranya menyertakan mod baharu iaitu Steampunk Frontier yang boleh dimainkan di peta Erangel, Livik, dan Rondo.
Mod ini menyertakan kawasan baharu seperti stesen kereta api Aetherholm, hab kargo, platform kereta api, dan Istana Utgard. Lokasi-lokasi ini ditempatkan di peta sedia ada dan disambung dengan jalan kereta api untuk membolehkan pemain melakukan pergerakan dengan lebih berkesan.
Kemaskini ini juga menyertakan acara kolaborasi bersama dengan siri manga dan anime popular iaitu Attack on Titan, antaranya di Istana Utgard yang sudah semestinya menjadi satu tempat yang menarik untuk pengikut siri tersebut.

Pemain juga boleh menggunakan Titan Serums yang membolehkan pemain untuk bertukar menjadi Pure Titans dan mendapat pelbagai kelebihan semasa pertempuran. Pemain juga boleh mendapatkan Attack Titan Serum untuk menjadi Attack Titan akan tetapi di setiap sesi pertempuran hanya ada satu sahaja yang boleh didapatkan.
Peralatan Omni-Directional Mobility juga boleh digunakan untuk memberikan pergerakan yang pantas dan juga membantu di dalam pertempuran di udara. Bagi pemain yang berada di Erangel, Colossal Titan juga akan muncul untuk menghasilkan adegan ikonik daripada siri tersebut.
Manakala pada 30 Mei, pemain juga berpeluang untuk mendapatkan kostum, hiasan senjata dan barangan berdasarkan Attack on Titans. Kemaskini ini juga akan membawa penambahan kandungan untuk World of Wonder, Metro Royale, Classic Mode dan juga Home Mode mendapat gaya baharu yang lebih bergaya.
PUBG Mobile sudah dilancarkan untuk iOS dan Android sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.