Mungkin kebanyakan pemain sudah mula memandang ke tahun 2025 kerana terdapat pelbagai permainan menarik akan dilancarkan termasuk juga permainan yang berpotensi untuk menjadi permainan terbesar iaitu Grand Theft Auto VI, tetapi dengan kita sudah menghampiri penutup untuk tahun 2024, adalah baik untuk melihat kembali permainan-permainan terbaik yang dilancarkan pada tahun ini. Permainan-permainan ini kebanyakan sudah mempunyai ulasan di Aksiz, tetapi ada juga yang ulasan akan datang tidak lama lagi.
Berikut merupakan 10 permainan terbaik tahun 2024 pilihan Aksiz:
10. Rise of the Ronin
Platform: PlayStation 5
Permainan dunia terbuka sudah mencapai satu tahap dengan kebanyakan permainan terasa sama dengan aktiviti yang tidak menarik, Rise of the Ronin hampir untuk jatuh di dalam masalah yang sama akan tetapi ia menyertakan pelbagai aktiviti yang menarik, selain itu sistem pertempuran yang digunakan juga adalah menarik memberikan satu pengalaman permainan yang penuh.
Baca: Ulasan Rise of the Ronin
9. Star Wars: Outlaws
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Star Wars Outlaws berjaya untuk mengulangi resipi-resipi permainan Ubisoft tetapi membawa keunikan tersendiri untuk menjadikan ia satu pengalaman yang terasa segar. Kekuatan permainan boleh dilihat melalui struktur aktiviti yang baik, kepelbagaian tatamain dan juga rekaan dunia yang ada. Ia juga membawa satu penceritaan Star Wars yang menarik.
Baca: Ulasan Star Wars Outlaws
8. Stellar Blade
Platform: PlayStation 5
Boleh dikatakan sebagai permainan kejutan untuk tahun ini, Stellar Blade bukan sahaja menyertakan pelbagai pilihan untuk pemain mengayakan Eve, watak utama tetapi permainan ini juga mempunyai sistem pertempuran yang bukan sahaja kemas dan menarik tetapi disajikan lagi dengan kepelbagaian rekaan peringkat dan pertempuran bos.
Baca: Ulasan Stellar Blade
7. Dragon’s Dogma 2
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Penantian 12 tahun untuk permainan susulan Dragon’s Dogma boleh dikatakan berbaloi dengan permainan kedua ini mempertingkatkan pengalaman daripada permainan asal ke satu tahap yang lebih baik. Permainan ini menyertakan dunia terbuka yang bukan sahaja cantik tetapi juga disertakan dengan pelbagai cabaran tersendiri. Tambah menarik dengan sistem pertempuran yang baik dan juga grafik yang memuaskan.
Baca: Ulasan Dragon’s Dogma 2
6. Helldivers 2
Platform: PlayStation 5, PC
Percubaan PlayStation untuk hadir dengan permainan live-service bukan satu jalan yang mudah, Concord harapan mereka sangat mengecewakan akan tetapi berlainan dengan Helldivers 2 yang bukan sahaja membawa sesi permainan yang menarik terutama bersama rakan, tetapi ia juga mempunyai kepelbagaian untuk menjadikan ia terasa berlainan setiap sesi permainan.
Baca: Ulasan Helldivers 2
5. Prince of Persia: The Lost Crown
Platform: PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, PC, Nintendo Switch
Ubisoft boleh dikatakan tidak mempunyai tahun yang baik dari segi perniagaan, akan tetapi Prince of Persia: The Lost Crown boleh dikatakan sebagai satu kejayaan untuk mereka kerana ia satu permainan yang membawa pengalaman baharu daripada mereka. Permainan ini membawa penceritaan memuaskan, tatamain yang menarik dan rekaan dunia serta watak yang sangat baik.
Baca: Ulasan Prince of Persia: The Lost Crown
4. Like a Dragon: Infinite Wealth
Platform: PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, PC
Kejayaan untuk Ryu Ga Gotoku Studio terus mengembangkan permainan mereka harus ‘dikaji’, mereka sekali lagi membawa permainan Like a Dragon ke satu tahap yang lebih tinggi. Permainan ini terus menyertakan satu penceritaan yang mendalam, sistem pertempuran juga ditambah-baik dan aktiviti sampingan yang disertakan boleh dikatakan melangkau genre permainan.
Baca: Ulasan Like a Dragon: Infinite Wealth
3. Final Fantasy VII Rebirth
Platform: PlayStation 5, PC
Final Fantasy VII Rebirth membawa satu penambah-baikkan yang sangat mendalam untuk tatamain dengan pengenalan dunia terbuka. Ia bukan sekadar luas dan menarik untuk diteroka akan tetapi pada masa yang sama juga mempunyai pengisian yang baik. Selain itu, sistem pertempuran juga menjadi lebih menarik dan penulisan yang lebih santai.
Baca: Ulasan Final Fantasy VII Rebirth
2. Indiana Jones and the Great Circle
Platform: Xbox Series, PC
Membawa IP besar seperti Indiana Jones untuk dijadikan sebagai permainan video sentiasa satu risiko yang besar akan tetapi MachineGames berjaya membawa satu pengalaman yang bagi saya menjangkau jangkaan daripada peminat permainan aksi dan juga peminat filem ini. Indiana Jones menyertakan penceritaan menarik, tatamain yang dipenuhi dengan momen yang mengasyikkan dan pilihan untuk menjadikan permainan first-person bukan sahaja kerana kepakaran MachineGames tetapi juga kerana ia memberi pengalaman baharu untuk genre permainan ini.
1. Astro Bot
Platform: PlayStation 5
Di dalam dunia permainan video yang ingin membawa pelbagai lagi perkara untuk mengembangkan tatamain dan penceritaan, Astro Bot terserlah dengan hadir dengan tatamain yang mempunyai satu fokus sahaja memberi keseronokan kepada pemain dengan sepenuhnya, dan permainan ini berjaya melakukannya membuatkan setiap yang bermain akan sentiasa tersenyum semasa bermain. Pada masa yang sama, ia juga memperlihatkan yang boleh menjadi permainan sukar yang mencabar kemahiran platformer pemain.
Baca: Ulasan Astro Bot