Mufasa: The Lion King hadir selepas filem pertama The Lion King (2019) pecah panggung dengan menjadi dalam lingkungan filem ke-20 kutipan tertinggi sepanjang zaman. Berbanding hadir dengan filem susulan, Disney telah memilih untuk memberi fokus kepada kisah mengenai Mufasa iaitu bapa kepada Simba menjadi raja seperti yang kita kenali di dalam filem pertama, dan juga bagaimana perhubungannya dengan Scar yang dianggap sebagai saudara tetapi akhirnya menjadi punca kepada kematiannya.
Filem ini bermula semasa Mufasa masih kecil dan dia tidaklah mempunyai darah ‘raja’, akan tetapi selepas dia terpisah dengan ibu bapanya selepas berlakunya banjir, dia membesar bersama dengan kelompok singa yang dia temui selepas hanyut daripada banjir. Dia tidak disukai oleh raja kelompok tersebut kerana dianggap sebagai singa asing akan tetapi dia rapat dengan Taka anak kepada raja tersebut dan pewaris kepada takhta dan juga ibu kepada Taka.

Pada awal filem, ia lebih memfokuskan kepada dinamik perhubungan di antara Mufasa dan Taka, Taka dibesarkan untuk menjadi raja, manakala Mufasa dibesarkan untuk menjadi pemburu sesuatu yang biasanya dilakukan oleh singa betina. Permasalahan bermula apabila sekumpulan singa baharu digelar sebagai “The Outsiders” datang untuk merampas kawasan tersebut, kumpulan ini berbadan lebih besar dan diketuai oleh Kiros yang ingin menjadi satu-satunya raja di hutan tersebut.
The Outsider kemudian datang menyerang yang membuatkan bapa Taka meminta dia dan Mufasa melarikan diri agar dapat memastikan pewarisnya terus selama. Bermulalah perjalanan Mufasa dan Taka ke kawasan baharu yang melangkaui ufuk, di dalam perjalanan mereka berdua bertemu dengan Sarabi, singa betina yang juga terselamat daripada serangan The Outsider mereka juga bertemu dengan Rafiki yang menjadi penunjuk arah.

Di dalam perjalanan tersebut, perhubungan di antara mereka mula berubah, terutama dengan Mufasa dan Taka menyukai Sarabi. Dinamik perhubungan ini menjadi bahagian yang penting pada pertengahan kedua filem ini, dan ia dilakukan dengan cukup baik akan tetapi bagi saya permasalahan yang disertakan terasa terlalu “manusia” berbanding masalah yang boleh di kaitkan dengan sekumpulan singa. Saya menyukai penceritaan secara umumnya, tetapi saya masih merasakan yang filem pertama masih mempunyai penceritaan yang lebih kemas dan lebih beremosi.
Walaupun filem ini adalah mengenai Mufasa, akan tetapi saya juga merasakan yang perwatakan Taka lebih menyerlah kerana dinamik wataknya, perhubungan dengan Mufasa dan juga perhubungannya dengan diri sendiri. Mufasa mempunyai satu perwatakan yang kita sudah kenal, manakala Taka bagaimana wataknya bermula dan berakhir terasa sangat berbeza menjadikannya lebih menarik untuk saya.

Ketiadaan James Earl Jones adalah satu kehilangan yang besar, Aaron Pierre yang menjadi Mufasa di dalam filem ini melakukan satu kerja yang baik, terutama kerana dia membawa Mufasa yang lebih muda oleh itu pembawaan sedikit berbeza, dan saya tidak mempunyai masalah tetapi pada masa sama, saya merindui pembawaan James Earl Jones. Taka yang dibawa oleh Kelvin Harrison Jr. juga melakukan kerja yang baik dan memberikan pembawaan yang bersesuaian sebagai gandingan kepada Aaron Pierre.
John Kani masih membawa watak Rafiki dan seperti biasa dia melakukan kerja yang baik untuk membawa watak mandrill tersebut yang bercakap seperti tidak masuk akal ataupun sedikit gila tetapi pada masa yang sama mempunyai banyak pedoman dan hikmah. Dengan kisah di dalam filem ini disampaikan oleh Rafiki yang menceritakan mengenai Mufasa kepada Kiara iaitu anak kepada Simba dan Nala, ia dilakukan dengan berkesan dan memberi lebih impak kepada penceritaan.

Mads Mikkelsen yang membawa watak Kiros juga menyampaikan-nya dengan baik untuk membawa satu watak jahat yang tenang tetapi pada masa yang sama mempunyai dialog atau ugutan yang tajam. Selain daripada itu, Donald Glover masih membawa watak Simba, Seth Rogen membawa watak Pumbaa, Billy Eichner sebagai Timon akan tetapi penglibatan mereka tidak banyak oleh itu persembahan mereka walaupun baik tidaklah membawa impak besar kepada filem ini.
Sebagai satu filem muzikal, saya dapati yang filem ini tidak mempunyai jumlah nyanyian yang banyak ada masa saya terlupa yang ini adalah filem muzikal. Saya boleh katakan yang ada tiga atau empat sahaja nyanyian dilakukan, walaupun lagu yang disampaikan adalah menarik akan tetapi bagi yang inginkan lebih muzikal mungkin ia akan sedikit mengecewakan.

Bagi ‘animasi’ pula, yang Disney masih menganggapnya sebagai aksi nyata, saya boleh katakan ia adalah lebih baik berbanding filem The Lion King, antara masalah di dalam filem pertama adalah singa-singa yang ada kurang memberikan air muka, dan saya merasakan filem ini melakukannya dengan lebih baik walaupun masih tidak sebaik filem animasi. Satu rungutan untuk saya adalah filem ini kelihatan sedikit desaturated yang menjadikan ia kelihatan kurang berwarna. Ia mungkin satu pilihan kreatif untuk menjadikan filem ini kelihatan aksi nyata, akan tetapi dengan pelbagai tempat yang penuh warna saya lebih berharap warna tersebut disampaikan dengan lebih baik.
Akhir kata, Mufasa: The Lion King membawa satu kisah yang menarik mengenai Mufasa dan juga Taka yang mempunyai perwatakan lebih dinamik menjadikannya sedikit lebih menarik berbanding Mufasa. Penyampaian adalah lebih baik terutama melalui air muka akan tetapi warna bagi saya kelihatan sedikit kurang menarik walaupun rekaan kawasan yang sangat pelbagai. Walaupun lagu yang disampaikan adalah menarik, ia terasa terlalu sedikit dan akan mengecewakan untuk yang inginkan lebih lagi. Tidak membawa impak emosi seperti filem pertama, tetapi masih satu tontonan yang baik dan memuaskan.
Gambar: © 2024 Disney Enterprises Inc.