Skip to main content

Sejak saya mula menggunakan Samsung Galaxy Tab S9 Ultra, saya boleh katakan yang ia telah menjadi platform utama untuk saya bermain permainan mudah alih, ia adalah kerana beberapa sebab – saiz skrin yang lebih besar berbanding telefon pintar dan ketahanan bateri yang tidak akan mengganggu urusan harian saya berbanding jika menggunakan telefon pintar sebagai platform utama untuk bermain. Pada bulan Oktober lepas, Samsung telah melancarkan kemaskini untuknya iaitu Samsung Galaxy Tab S10 yang saya sudah meluangkan masa hampir sebulan mencubanya dan saya kini boleh katakan Samsung Galaxy Tab S10+ merupakan menjadi tempat utama untuk saya bermain permainan mudah alih dan juga apa-apa aktiviti permainan video yang berkait.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Tab S10+
Skrin12.4-inci, Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, 1752 x 2800, HDR10+
PemprosesMediatek Dimensity 9300+
RAM12GB
Storan256GB (sokongan mikroSD sehingga 1TB)
Bateri10,090mAh (45W)
HargaRM4,599

Skrin

Perkara pertama yang saya ingin bercakap adalah mengenai skrin, oleh kerana ia merupakan model S10+ ia mempunyai saiz skrin lebih kecil berbanding dengan Tab S9 Ultra yang saya guna sebelum ini iaitu 12.4-inci berbanding 14.6-inci. Saiz skrin yang lebih kecil ini bagi saya tidak semestinya satu perkara yang negatif. Jika anda membaca ulasan saya untuk Tab S9 Ultra, saya mengatakan yang agak saiz skrin di tablet tersebut menjadikan agak sukar dan janggal untuk bermain permainan mudah alih menggunakan skrin sesentuh, oleh itu menggunakan alat kawalan adalah pilihan terbaik terutama bagi permainan yang menyokongnya.

Manakala bagi Tab S10+ ini, saya boleh katakan yang masih boleh untuk bermain mana-mana permainan menggunakan skrin sesentuh, saya dapat bermain Genshin Impact ataupun OXENFREE II tanpa sebarang masalah. Namun, menggunakan alat kawalan masih lagi pilihan terbaik kerana ia lebih selesa dan juga dapat memastikan kesemua skrin dapat digunakan untuk memperlihatkan permainan yang sedang dimainkan. Walaupun saiz yang lebih kecil, ia masih satu tablet yang akan terasa beratnya jika dipegang terlalu lama.

Selain berkait dengan saiz, skrin yang digunakan oleh tablet ini adalah seperti skrin-skrin lain yang digunakan oleh produk mercu oleh Samsung dan kualitinya adalah antara terbaik di pasaran. Tidak kira bermain permainan mudah alih ataupun menonton kandungan hiburan ia memberi paparan yang sangat cantik dengan warna yang tepat dan terang. Tambahan pada itu, dengan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz ia memastikan pengalaman yang sangat baik untuk menggunakannya, walaupun tidak kesemua permainan menyokongnya.

Prestasi

Bagi penawaran tablet kali ini, Samsung telah memilih untuk menggunakan cip pemprosesan oleh Mediatek berbanding Qualcomm. Sepanjang sesi percubaan saya, Dimensity 9300+ yang digunakan adalah baik dan saya dapat bermain kebanyakan permainan menggunakan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah, seperti biasa saya menggunakan tiga permainan oleh HoYoverse untuk menguji tablet ini iaitu Genshin Impact, Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero.

Menggunakan tetapan tertinggi dengan kadar kelancaran 60FPS ia boleh dimainkan tanpa sebarang masalah, terdapat beberapa bahagian akan berlaku lagging akan tetapi pada percubaan saya walaupun saya mengurangkan tetapan grafik, lagging masih berlaku. Oleh kerana ia bukanlah satu yang kerap berlaku, perkara ini bukanlah masalah besar untuk saya.

Selain itu, saya juga mencuba permainan-permainan lain, terutama yang ditawarkan melalui Netflix Games antaranya OXENFREE II dan Civilization VI, kedua-dua permainan boleh dimainkan dengan baik walaupun sedikit masalah dari segi resolusi untuk permainan tersebut kerana ia kelihatan dimainkan dengan resolusi lebih rendah tetapi tiada tetapan yang boleh diubah.

Saya juga menggunakan tablet ini sebagai ‘laptop’ utama untuk saya melakukan kerja dan juga digunakan semasa travel. Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan pekerjaan secara multitask, menulis artikel sambil melihat penstriman, ataupun menyunting gambar sambil melayari laman sesawang kesemua ini boleh dilakukan secara serentak tanpa sebarang masalah.

Bateri

Oleh kerana saiz yang lebih kecil berbanding Samsung Galaxy Tab S9 Ultra, begitu juga untuk kapasiti bateri iaitu 10,090 mAh berbanding 11,200 mAh, namun saya tidak terasa perlu mengubah cara saya menggunakan tablet ini. Saya masih boleh menggunakannya tanpa perlu mengecas sekurang-kurangnya untuk selama 2 hari jika tidak meluangkan masa terlalu lama bermain permainan mudah alih. Jika saya melakukan sesi bermain yang intensif, seperti 3-4 jam dalam sehari, saya perlu mengecasnya pada penghujung hari ataupun pada pertengahan hari keesokannya.

Seperkara yang menjadi rungutan kecil untuk saya adalah pengecasan pantas masih terhad kepada 45W yang masih pantas kerana mengambil kurang daripada 2 jam untuk pengecasan penuh daripada sifar akan tetapi berbanding dengan teknologi yang digunakan sekarang terutama di penawaran telefon pintar, saya mengharapkan yang ia memberikan pengecasan yang lebih pantas untuk memberi nilai tambah kepada pengguna.

Lain-Lain

Dengan setiap pembelian Samsung Galaxy Tab S10+, anda juga akan mendapat S-Pen dan juga Book Cover Keyboard Slim secara percuma. Bagi yang sering mengambil nota ataupun gembar untuk melukis, S-Pen sangat berguna, saya juga sering menggunakannya sekadar untuk menyunting gambar kerana ia lebih jitu berbanding menggunakan jari.

Manakala untuk Book Cover Keyboard Slim pula, ia memuaskan untuk digunakan dengan setiap butang terasa ditekan tetapi saya cuba mempunyai masalah sedikit sela masa untuk penggunaan Caps Lock, ia masalah yang sama semasa saya menggunakan Tab S9 Ultra sebelum ini. Oleh itu, saya membiasakan diri untuk menggunakan Shift.

Saya juga menyukai Book Cover Keyboard Slim ini berbanding Smart Book Cover sebelum ini terutama kerana saya boleh meletakkannya di atas riba, sesuatu yang sukar untuk dilakukan di Smart Book Cover walaupun saya terhad dengan satu sudut kedudukan skrin sahaja dan juga ia tidak lagi mempunyai trackpad – dengan saya juga lebih suka menggunakan tetikus, ia bukanlah satu masalah besar.

Ia juga kini hadir dengan butang khusus untuk AI yang anda boleh tetapkan untuk menggunakan Bixby ataupun Gemini. Seperti produk Samsung yang dilancarkan baru-baru ini, tablet ini juga menyokong fungsi-fungsi AI seperti menyunting gambar dan juga merumuskan sesuatu nota. Ia satu fungsi yang sangat berguna bagi yang memerlukan.

Rumusan

Galaxy Tab S10+ dengan harga RM4,599 mungkin satu harga yang agak tinggi tetapi dengan harga tersebut anda mendapat pengalaman terbaik untuk sebuah tablet. Skrin yang berkualiti tinggi, prestasi yang sangat mencukupi untuk sesi bermain permainan mudah alih ataupun melakukan pekerjaan harian. Sama ada ia dapat menggantikan sepenuhnya laptop berbeza mengikut penggunaan, tetapi sejak daripada S9 Ultra lagi saya sudah menggunakan tablet sebagai ‘laptop’ utama saya tanpa sebarang masalah. Bateri juga bertahan untuk beberapa hari termasuk juga jika digunakan untuk bermain.

Setiap pembelian juga akan mendapat nilai tambahan seperti S-Pen secara percuma dan juga Book Cover Keyboard Slim yang sangat berguna jika anda ingin menjadikan tablet ini sebagai pengganti laptop, ia juga sangat berguna untuk sesi bermain terutama semasa menggunakan alat kawalan kerana anda tidak perlu mencari pendiri yang berlainan.

Samsung Galaxy Tab S10+ hadir dengan dua pilihan warna iaitu Moonstone Gray dan Platinum Silver seperti yang saya gunakan ini. Ia juga mempunyai model dengan sokongan selular yang ditawarkan dengan harga RM5,249.

Leave a Reply