Skip to main content

Until Dawn pertama kali dilancarkan hampir 10 tahun yang lepas, oleh itu berbanding permainan-permainan lain yang ada menerima versi baharu, permainan ini mungkin salah satu yang kita boleh katakan sebagai ‘berhak’ untuk menerimanya. Namun, Until Dawn yang dilancarkan pada 4 Oktober lepas ini, gagal untuk benar-benar membuatkan ia satu permainan yang baharu dan apa yang baik serta tidak baik mengenainya adalah sama dengan permainan yang dilancarkan pada tahun 2015 lepas.

Selepas bermain sekali lagi permainan ini, saya boleh mengatakan yang ia antara permainan seram interaktif yang mempunyai keseimbangan yang baik di dalam menyampaikan penceritaan, memberi pilihan kepada pemain dan juga melibatkan pemain di dalam tatamain. Walaupun permulaan ataupun pembinaan plot bagi permainan ini terasa agak janggal dan perlahan akan tetapi apabila ia memasuki bahagian klimaks, penceritaan terus menarik.

Permainan ini bermula dengan 10 sahabat di sebuah kabin di Blackwood Mountain iaitu Ashley, Christopher, Emily, Jessica, Matthew, Michael, Samantha bersama dengan Joshua dan adik perempuannya iaitu Hannah dan juga Beth. Kegembiraan mereka di kabin tersebut terhenti apabila selepas satu kejadian, Hannah dan Beth yang cuba melarikan diri daripada hutan sekitar kabin tersebut telah jatuh yang mengakibatkan mereka dikatakan hilang ataupun mati.

Setahun kemudian, Joshua telah menjemput semula rakan-rakannya untuk kembali ke kabin tersebut, sesuatu yang dia kata yang diinginkan oleh mendiang Hannah dan Beth. Bagi menjaga hati Joshua, kesemua mereka bersetuju. Tidak lama selepas mereka berkumpul semula di kabin tersebut, pelbagai kejadian aneh berlaku termasuk juga kereta kabel yang satu-satunya jalan untuk keluar dan masuk telah dirosakkan, mereka cuba mendapat bantuan akan tetapi ia hanya akan tiba menjelang subuh.

Sepanjang permainan ini saya akan mengawal semua watak secara bergilir-gilir dengan setiap mereka mempunyai objektif tersendiri, ada masa secara bersendirian dan ada masa bersama dengan orang lain. Satu penambahan yang di bawa melalui versi terbaru ini adalah saya diberi lebih kebebasan untuk bergerak, namun oleh kerana apa yang boleh dilakukan adalah terhad ia tidak memberi apa-apa kelebihan selain ada masa menjadikan ia terasa lebih perlahan.

Selain bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, saya juga dapat mencari pelbagai Totem yang akan memberi petunjuk mengenai apa yang akan berlaku di masa hadapan, ia akan membantu saya untuk membuat pilihan kemudian, pada masa yang sama ia juga bukanlah sesuatu yang wajib. Saya juga dapat mencari klu mengenai apa yang berlaku di Blackwood Mountain, terdapat beberapa penceritaan berbeza yang agak menarik untuk diteroka secara lebih.

Saya juga akan diberikan beberapa adegan yang akan memerlukan input seperti QTE, ia biasanya apabila melarikan diri daripada sesuatu ataupun cuba mencapai sesuatu tempat yang lebih tinggi atau jauh. Ada adegan QTE yang penting memberi kesan kepada penceritaan sama ada sesuatu watak selamat ataupun tidak, dan ada juga adegan yang lebih kepada animasi berbeza sahaja jika gagal melakukan QTE tersebut. Secara amnya, ia masih memberi “main” kepada tatamain ini.

Setiap watak juga diberikan pilihan dialog ataupun pilihan aksi yang seperti QTE ada penting menentukan nasib sesetengah watak dan ada juga sekadar memberi personaliti berbeza kepada watak tersebut ataupun mengubah perhubungan mereka. Saya juga menyukai perkara ini dan berbanding permainan-permainan lain yang dilancarkan membawa konsep yang sama, Until Dawn menyertakan perkara ini dengan cara yang baik dengan setiap pilihan terasa memberi kesan seperti sepatutnya, terutama dengan penggunaan Butterfly Effect yang memudahkan untuk melihat keputusan yang sudah dibuat.

Kesemua watak di dalam permainan ini ada masa terasa menjengkelkan ataupun bermula dengan perlahan tetapi apabila penceritaan mula berkembang, setiap watak berkembang bersama dengan baik dengan setiap daripada mereka membawa sesuatu yang berbeza. Perhubungan di antara watak juga dilakukan dengan baik dengan perhubungan yang bercabang benar-benar digunakan untuk menjadikan ia lebih berdrama dan memberi lapisan tambahan kepada perwatakan.

Saya boleh katakan yang Until Dawn membawa gabungan penceritaan dan tatamain yang baik melalui perkara-perkara yang dilakukan di atas, walaupun saya sudah mengetahui dan masih ingat mengenai apa yang berlaku di dalam permainan ini, saya masih boleh menghargai sesi permainan baharu saya ini dengan masih ada jumpscare yang membuatkan saya terkejut, saya juga masih dapat menghayati penceritaan dengan baik.

Namun, kesemua perkara yang baik saya nyatakan di atas adalah perkara baik yang juga ada di permainan asal tanpa sebarang perubahan ataupun penambahan. Bagi versi terbaru ini, sudah semestinya perkara paling jelas adalah grafik dan visual yang lebih baik dan saya boleh katakan ia serba sedikit memberi pengalaman baharu bagi permainan ini, terutama kerana kali terakhir saya bermain lebih 9 tahun yang lepas.

Perkara ini saya boleh katakan lebih jelas melalui pencahayaan yang lebih baik, ia membantu untuk benar-benar memberi perasaan seram dan gelap berbanding permainan asal. Mungkin kerana ini, bahagian yang saya tahu akan berlaku kejutan masih mengejutkan saya.

Model watak, tekstur, persekitaran dan juga pencahayaan kesemua telah dipertingkatkan dan walaupun saya sudah lama bermain permainan asal, saya boleh ingat yang kesemua kelihatan lebih baik. Walaupun begitu, masih ada perkara yang kurang baik daripada permainan sebelum ini, diteruskan di dalam versi ini iaitu ada animasi yang kelihatan janggal dan juga riak wajah yang kelihatan kaku. Kedua-dua masalah ini masih ada di dalam versi ini.

Saya memulakan sesi bermain permainan ini di PlayStation 5 dan mempunyai sedikit masalah dengan kelancaran kerana ada bahagian yang kelancaran terganggu, tetapi selepas PlayStation 5 Pro, permainan ini telah dikemaskini dan menerima dua mod grafik berbeza iaitu Performance dan Fidelity (ia juga disertakan untuk PS5), saya menggunakan Performance dan tidak lagi mempunyai masalah kelancaran dan grafik masih kelihatan baik.

Permainan dilancarkan sebagai satu permainan baharu, oleh itu tiada naik taraf disediakan, oleh itu jika anda ingin bermain versi baharu ini ia akan memerlukan pembelian penuh. Saya boleh katakan yang peningkatan grafik serta visual yang di bawa cukup untuk menambah-baik pengalaman bermain, akan tetapi kebanyakan pengalaman adalah melalui penceritaan dan tatamain yang tidak berbeza di permainan yang asal dan permainan yang baharu ini.

Akhir kata, versi terbaru untuk Until Dawn sudah semestinya merupakan versi terbaik bagi permainan ini. Oleh itu, jika anda tidak pernah mencubanya sebelum ini, versi ini adalah pilihan terbaik dan boleh dikatakan pilihan tepat untuk mendapatkannya. Jika anda sudah bermain-nya, walaupun 9 tahun yang lepas, ia tidak memberi pengalaman yang terlalu berlainan kerana pengalaman utama bagi permainan ini adalah penceritaan dan juga tatamain dan bukan sangat kepada grafik ataupun visual.

Until Dawn (2024)
Versi terbaik untuk permainan ini tetapi pengalaman utama ini bukanlah pada grafik ataupun visual tetapi penceritaan dan tatamain yang masih baik walaupun hampir 10 tahun yang lepas. Pilihan terbaik untuk yang tidak pernah bermain tetapi yang sudah mencubanya sebelum ini, mungkin tidak mencukupi untuk beli dan bermain sekali lagi.
Positif
Penceritaan yang penuh misteri
Tatamain disampaikan dengan menarik
Grafik dan visual yang lebih berkualiti
Negatif
Pengalaman baharu tidak terlalu ketara
Masih membawa kekurangan daripada permainan asal
7

Leave a Reply

Final Score