Capcom telah mengumumkan yang sesi beta terbuka untuk Monter Hunter Wilds akan berlangsung pada 1 November sehingga 4 November bagi pemain di PlayStation 5, Xbox Series dan PC.
Manakala bagi pelanggan PS Plus, mereka dapat mencubannya dengan lebih awal iaitu bermula pada 29 Oktober sehingga 31 Oktober dan boleh meneruskannya semasa sesi untuk umum.
Melalui sesi beta terbuka ini, pemain boleh menghasilkan watak dan bermain bahagian awal untuknya sehingga dapat melawan dengan raksasa iaitu Chatacabra, ia juga merupakan bahagian tutorial untuk membantu pemain bermula.
Pemain juga boleh bermain bersama rakan dan menambah senarai rakan di dalam permainan, namun hanya rekaan watak sahaja yang akan di bawa ke permainan penuh, kemajuan sesi permainan dan juga senarai rakan tidak akan di bawa.
Selain dapat mencuba dengan lebih awal, PlayStation juga mengumumkan alat kawalan DualSense dengan rekaan berdasarkan Monter Hunter Wilds. Alat kawalan ini boleh mula di pra-tempah pada 22 November dengan ia akan dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari 2025 iaitu tarikh pelancaran bagi permainan ini.