Venom: The Last Dance dipromosikan sebagai filem terakhir di dalam siri filem ini, ataupun sekadar mengambarkan filem terakhir di antara Venom dan juga Eddie Brock lakonan Tom Hardy, walau apa pun maksud kepada judul untuk filem ini iaitu “The Last Dance”, filem ini tidak terasa seperti satu filem terakhir dan saya bukan mengatakannya sebagai sesuatu yang positif. Filem ini mempunyai beberapa perkara yang dilakukan dengan baik tetapi lebih jelas adalah perkara yang kurang baik.
Perkara utama yang menjadi masalah kepada saya untuk menghargai filem ini adalah bahagian awal, ataupun 2/3 daripada bahagian ini terasa sangat membosankan dengan saya tidak pasti kemana filem ini sedang menuju. Saya faham yang ia cuba menghasilkan satu permasalahan yang kurang menjadi fokus di filem-filem lepas, tetapi penyampaiannya bukan sahaja tidak jelas tetapi juga terdapat banyak adegan yang bagi saya tidak penting dan tidak perlu ada di dalam filem ini.

Saya bukan mengatakan kerana ia lebih memfokuskan kepada dialog, ataupun membentuk perhubungan di antara Eddie Brock dan Venom akan tetapi lebih kepada tiada kesegeraan untuk menyampaikan penceritaan ini. Perkara ini saya boleh terima jika ia adalah filem pertama, ataupun filem permulaan tetapi ini merupakan filem ketiga bahkan dikatakan sebagai filem terakhir oleh itu ia lebih mengecewakan apabila mereka mengambil masa untuk menyampaikannya.
Selepas kejadian Venom: Let There Be Carnage, Eddie Brock telah diburu kerana dikatakan terlibat dengan pembunuhan. Oleh itu, dia bersama dengan Venom bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, sehinggalah dijumpai oleh satu kumpulan tentera yang juga sedang mengkaji simbiot. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Knull yang mencipta simbiot, ingin membalas dendam terhadap simbiot yang mempunyai kisah silam di antara mereka.
Bagi saya premis penceritaan adalah baik, dan berpotensi untuk menjadi menarik, namun setiap bahagian penceritaan ini tidak dilakukan dengan baik. Kejar mengejar di antara tentera dengan Eddic Brock tidak menarik, bagaimana mereka mengkaji simbiot tidak dikembangkan bahkan Knull yang sepatutnya menjadi watak penjahat utama di dalam filem ini juga tidak digunakan dengan baik ataupun memainkan peranan yang besar di dalam filem ini.
Sebaliknya, penceritaan lebih memfokuskan kepada perkembangan yang kurang menjadi bagi perhubungan di antara Eddie Brock dan Venom, yang cuba disampaikan sebagai rakan ataupun “buddy cop” tetapi ia terasa memaksa. Walaupun ini serba sedikit memberi kesan emosi di antara mereka dan menjadi filem Venom yang lebih memfokuskan aspek emosi tetapi pengakhiran tidak berkesan kerana masalah pembinaan watak di antara mereka berdua.
Filem ini juga cuba untuk menyertakan beberapa watak baharu yang berkait terus dengan Eddie Brock dan Venom, seperti Rex Strickland lakonan Chiwetel Ejiofor dan Dr. Teddy Payne lakonan Juno Temple. Kedua-dua watak memainkan peranan di dalam penceritaan tetapi pada masa yang sama watak mereka tidak memberi kesan yang besar ataupun akan diingatkan, melainkan salah satu watak yang mungkin boleh memainkan perana di masa hadapan.

Bahagian terakhir filem ini lebih memfokuskan kepada aksi yang bagi saya sekurang-kurangnya menarik untuk ditonton dan serba sedikit membantu untuk menjadikan filem ini tidak bosan. Xenophage, raksasa yang dihantar oleh Knull untuk memburu simbiot sangat menyeramkan dan nampak ganas apabila mereka membunuh mangsa dengan ngerinya. Ia sedikit perkara yang positif bagi filem ini tetapi mungkin terlalu lambat untuk membantu keseluruhan filem ini yang masih mengecewakan.
Akhir kata, walaupun mempunyai bahagian yang beremosi dan juga bahagian akhir yang agak menarik dengan pelbagai aksi akan tetapi ia akhirnya merupakan satu filem sebahagian besarnya terasa tiada hala tuju serta membuatkan segala perkembangan watak dan juga penceritaan tidak berkesan. Ia juga memberi kesan kepada pengakhiran kerana tidak memberi impak seperti yang sepatutnya. Tambah mengecewakan lagi kerana filem ini dipromosikan sebagai filem terakhir, ia sepatutnya berakhir dengan lebih gempak daripada ini.