Skip to main content

Lebih setahun selepas melancarkan ROG Ally, ASUS Republic of Gamers telah hadir dengan penawaran terbaru untuk PC Mudah Alih terbaru mereka iaitu ROG Ally X. Saya boleh katakan yang ia adalah versi terbaik untuk peranti ini dengan beberapa penambah-baikkan disertakan adalah sesuatu yang diperlukan untuk mempertingkatkan pengalaman bermain permainan video.

Penambahan-penambahan yang saya boleh katakan menjadi game changer untuk peranti ini adalah ketahanan bateri, butang, storan dalaman dan juga jumlah RAM secara lalai. Kesemua ini satu penambahan yang baik, tetapi pada masa yang sama jika anda sudah memiliki model sebelum ini, ia bukanlah satu naik taraf yang perlu – manakala jika anda baru sahaja ingin membeli, ROG Ally X sudah semestinya pilihan yang lebih baik.

Spesifikasi

Paparan7-inci FHD IPS (1920 x 1080), 120Hz
CPUAMD Ryzen Z1 Extreme (8C/16T, sehingga 5.1GHz)
GPUAMD Radeon Graphics (AMD RDNA 3, 8.6 teraflops)
RAM12GBx2 LPDDR5 (7500Mhz)
Storan1TB M.2 PCIe 4.0 SSD
Batteri80Wh
Dimensi280 x 111 x 2.47~3.69 cm
Berat678g
HargaRM4,299

Paparan

Jika anda membaca ulasan saya untuk ROG Ally, saya mengatakan yang paparan untuk peranti ini adalah baik akan tetapi kurang menyerlah kerana menggunakan panel IPS dan sedikit ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan peranti mudah alih telefon pintar, Nintendo Switch bahkan peranti pesaing seperti Steam Deck yang menggunakan OLED.

Oleh itu agak mengecewakan apabila ROG memilih untuk tidak menyertakan sebarang kemaskini bagi model baharu ini. Ia masih menggunakan paparan yang sama seperti ROG Ally dan ROG mengatakan yang ia adalah untuk penjimatan bateri dan saya juga merasakan yang ia adalah kerana untuk memastikan harga yang ditawarkan tidak terlalu jauh berbeza dengan model sebelum ini.

Prestasi

ROG Ally X menyertakan jumlah RAM yang lebih besar iaitu 12GB x 2 ataupun 24GB berbanding 16GB sebelum ini yang akan memberikan lebih ruang untuk menjalankan sesuatu permainan dengan lebih stabil dan tidak terlalu terganggu dengan operasi-operasi di belakang yang berjalan bersama semasa anda bermain permainan video.

Namun, bagi prestasi bermain permainan video itu sendiri saya boleh katakan ia tidak membawa sebarang perbezaan yang besar. Kebanyakan permainan yang saya cuba seperti Cyberpunk 2077, Baldur’s Gate 3, Persona 3 Reload dan EA Sports FC 25 saya menggunakan tetapan yang sama semasa bermain di ROG Ally X ataupun di ROG Ally.

Oleh itu, prestasi-prestasi yang saya dapat melalui ROG Ally sebelum ini, boleh digunakan pakai untuk menggambarkan prestasi yang saya dapat daripada model baharu ini. Sedikit perubahan hadir melalui jumlah RAM yang lebih besar, memberikan kestabilan yang lebih dan juga kemaskini-kemaskini sistem operasi oleh ASUS dan juga Microsoft.

Perkara ini tidak mengejutkan kerana ROG Ally X dan ROG Ally masih menggunakan gandingan CPU dan GPU yang sama sahaja iaitu AMD Ryzen Z1 Extreme.

Bateri

Perubahan terbesar bagi saya untuk ROG Ally X bagi saya adalah bateri, sebelum ini antara rungutan saya mengenai bermain ROG Ally adalah agar sukar untuk mengatakannya sebagai PC mudah alih jika saya meluangkan lebih banyak masa bermain dengan menyambung ke plug kuasa. Ini adalah kerana bermain dengan tetapan terbaik untuk permainan akan memberikan ketahanan kurang daripada sejam.

Manakala di ROG Ally X menggunakan mod yang sama iaitu Turbo, saya boleh satu permainan sehingga 2 jam sebelum memerlukan pengecasan. 2 jam bukanlah satu masa yang lama, tetapi ia adalah kebiasaan untuk peranti-peranti seperti ini. Bermain sesuatu permainan sehingga 2 jam, tanpa perlu risaukan pengecasan adalah mencukupi.

Oleh kerana itu saya boleh katakan yang peningkatan bateri ini adalah satu penarik utama bagi yang ingin naik taraf ROG Ally mereka ataupun memilih ROG Ally X sebagai pembelian pertama. Ia benar-benar memberikan pengalaman yang lebih baik.

Pengalaman Umum

ROG Ally X juga memberikan penambah-baikkan yang baik untuk butang yang terasa lebih baik untuk ditekan dan juga digunakan. Saya boleh katakan yang bermain permainan seperti EA Sports FC 25 di ROG Ally terasa sedikit kurang selesa, dan ia menjadi lebih baik di ROG Ally X terutama melalui penggunaan kayu analog yang terasa lebih berkualiti. D-Pad juga dipertingkatkan untuk memberikan pengalaman yang lebih baik semasa bermain permainan pertarungan.

Walaupun begitu, seperti ROG Ally sebelum ini, saya masih memilih untuk menggunakan alat kawalan apabila bermain secara kompetitif seperti bermain Ultimate Team di EA Sports FC 25 ataupun bermain permainan pertarungan kerana ia lebih selesa dan memberikan saya lebih kawalan, tetapi jika saya tidak mempunyai akses untuknya saya masih boleh menggunakan terus ROG Ally X tanpa sebarang masalah.

Bateri yang lebih besar disertakan di dalam ROG Ally X juga mengakibatkan yang ia menjadi lebih berat berbanding model sebelum ini iaitu 678g berbanding 608g, namun saya tidak merasakan penambahan berat ini memberikan pengalaman yang berbeza dengan sebelum ini. Saya masih dapat menggunakannya dengan selesa, dan mungkin terasa sedikit penat apabila bermain untuk satu masa yang lama.

Peningkatan storan daripada 512GB ke 1TB juga adalah satu penambahan yang baik, berbeza dengan telefon pintar ataupun Nintendo Switch permainan di ROG Ally X adalah sama sahaja dengan PC oleh itu sesetengah permainan mempunyai saiz yang besar. Penambahan ini memastikan saya tidak perlu terlalu risau dengan pengurusan storan. Selain itu, ROG Ally X juga membuang port XGm dan digantikan dengan satu lagi USB-C yang memudahkan lagi penggunaan.

Rungutan utama saya di ROG Ally adalah penggunaan Windows yang tidak dibina untuk PC mudah alih seperti ini, walaupun ROG sudah menambah baik aplikasi Armoury Crate, Microsoft juga memperkenalkan Compact Mode bagi aplikasi Xbox untuk penggunaan PC Game Pass, namun secara umumnya pengalaman masih lagi janggal. Saya lebih memilih untuk terus menjalankan Steam Big Pictures yang akan memberikan pengalaman yang lebih baik. Saya masih berharap Microsoft dapat hadir dengan Windows hadir dengan versi sistem operasi yang khusus untuk peranti seperti ini.

Rumusan

Akhir kata, ROG Ally X membawa beberapa perubahan yang menjadikan pengalaman menggunakan peranti ini lebih baik berbanding model-model sebelum ini ataupun berbanding dengan pesaing lain. Namun, dengan pilihan mereka untuk tidak membawa peningkatan bagi beberapa bahagian yang saya juga penting seperti skrin dan prestasi, mungkin sukar untuk ‘mewajibkan’ naik taraf daripada model sebelum ke yang terbaru ini.

Bagi yang ingin jadikan pembelian pertama, saya sangat cadangkan untuk dapatkan ROG Ally X walaupun harga lebih mahal kerana apa pembaharuan yang disertakan benar-benar memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik seperti bateri dan storan. Pada masa yang sama, saya juga risau jika ROG memilih untuk mengeluarkan kemaskini sebegini secara tahunan kerana makin sukar untuk memilih, waktu yang paling tepat di dalam mendapatkan peranti ini.

Leave a Reply