Pada tahun 2022, God of War Ragnarok merupakan permainan terbaik pilihan Aksiz, oleh itu apabila versi PC dilancarkan hampir 2 tahun kemudian, saya sebenarnya tidak perlu bercerita panjang kerana ia masih satu permainan yang berhak mendapat skor 10/10 pada tahun 2022 dan juga pada tahun ini. Oleh itu, jika anda ingin membaca ulasan penuh saya mengenai permainan ini, anda boleh membacanya di pautan berikut – Ulasan God of War: Ragnarok kerana ia adalah benar pada waktu ini, dan masih benar pada waktu sekarang.


Bagi ulasan untuk versi PC yang dilancarkan pada 19 September lepas, saya ingin memfokuskan kepada prestasi permainan dan juga mod Valhalla yang dilancarkan sebagai kandungan tambahan pasca-pelancaran dan tidak disertakan di dalam ulasan sebelum ini. Sebelum itu, serba sedikit mengenai God of War Ragnarok – ia merupakan permainan susulan kepada God of War yang dilancarkan pada tahun 2018 dan turut dilancarkan untuk PC.
Dengan penceritaan mengikut terus permainan pertama, sangat-sangat dicadangkan untuk anda bermain terlebih dahulu permainan pertama sebelum memulakan pengembaraan di dalam permainan kedua ini. Permainan pertama secara kendirinya satu permainan yang cukup baik, manakala permainan kedua ini mengembangkan lagi permainan tersebut dan membawa pemain ke satu pengalaman tatamain dan juga penceritaan yang sangat memuaskan hati.
Prestasi
Seperti permainan God of War yang pertama, God of War Ragnarok untuk PC ini juga dibangunkan oleh Jetpack Interactive dan kerjasama bersama Santa Monica Studio sebagai pembangun asal, dan saya boleh katakan ia merupakan satu port yang sangat baik dengan kebanyakan bahagian permainan boleh dimainkan dengan lancar tanpa sebarang masalah, hanya terdapat beberapa bahagian sahaja yang sedikit masalah dengan kelancaran akan jatuh dengan lebih mendadak. Oleh kerana ia boleh dikatakan sebagai kawasan yang sama, ia tidak memberi kesan yang besar pada pengalaman keseluruhan permainan.


Berikut merupakan spesifikasi PC yang saya guna bagi ulasan ini:
- CPU: AMD Ryzen 5 3600
- GPU: NVIDIA GeForce RTX 4070 Super
- RAM: 16 GB RAM
Saya mencuba satu tetapan sahaja dan berpuas hati dengan prestasi yang diberikan iaitu tetapan Ultra dan tidak menggunakan sebarang DLSS dengan resolusi 1080p. Dengan tetapan ini saya mendapat secara purata 103 FPS yang bagi saya sudah cukup baik terutama tanpa menggunakan sebarang DLSS. Terdapat beberapa bahagian yang FPS akan jatuh terutama di bahagian yang berat seperti pertempuran ataupun kawasan yang penuh dengan flora dan fauna, namun sukar untuk menjumpai tempat ataupun adegan yang membuatkan FPS lebih rendah daripada 60FPS.

Jika saya ingin bermain dengan resolusi 4K, ataupun degan paparan ultra-lebar, tetapan yang sama boleh dilakukan tetapi mungkin perlu mengehadkan FPS kepada 60 agak ia memberikan prestasi yang lebih stabil. Selain itu, saya juga boleh menggunakan DLSS ataupun teknologi yang lain untuk memberikan kadar kelancaran yang lebih tinggi.
Saya tidak mengujinya secara sendiri, akan tetapi berdasarkan spesifikasi yang dicadangkan, permainan ini juga mesra CPU dan GPU daripada generasi sebelum-sebelum ini, contohnya CPU yang saya guna adalah generasi yang sudah bertahun dan masih boleh menggerakkan permainan ini dengan baik dan kadar penggunaan CPU secara purata 70%. Manakala GPU yang dicadangkan adalah NVIDIA RTX 2060 Super yang dilancarkan pada tahun 2019 lagi.
Valhalla
Valhalla bukan sekadar DLC percuma yang ditawarkan untuk pemain meluangkan lebih masa bermain permainan ini, akan tetapi ia juga satu penambahan yang akan disukai oleh pemain-pemain yang sudah mengikuti permainan ini sejak awal lagi. Jika mengikut penceritaan, mod ini berlaku selepas kejadian penceritaan utama Ragnarok, oleh itu lebih masuk akal untuk bermain-nya selepas menghabiskan permainan utama, namun jika anda tidak ingin menunggu, ia boleh dimainkan pada bila-bila masa sahaja dengan mengakses-nya melalui menu utama.


Melalui mod ini, Kratos memasuki Valhalla dan perlu menghadapi kisah atau dosa silamnya, dan seperti biasa Kratos juga perlu melawan dengan pelbagai penjahat di dalamnya. Tidak kira anda berada di bahagian mana bagi permainan utama, di Valhalla, Kratos akan kehilangan kesemua kuasanya dan sekadar membawa tiga senjata utamanya. Kratos boleh diperkuatkan dengan dengan menggunakan runic dan pelbagai perkara lain dengan melalui pelbagai cabaran terlebih dahulu.
Terdapat pelbagai power-up yang boleh didapatkan oleh Kratos secara rawak oleh itu setiap sesi permainan terasa berlainan dan jika mati perlu bermula semula. Jika anda menyukai pertempuran di dalam permainan utama sebelum ini, Valhalla adalah satu penambahan yang baik, jika anda tidak menyukai sebelum ini ada berkemungkinan Valhalla akan memberikan pengalaman yang lebih baik melalui kelainan yang akan diberikan setiap sesi permainan.


Saya juga menyukai struktur permainan ini, walaupun satu permainan roguelite, tetapi kerana bagaimana setiap bahagian disampaikan daripada awal sehingga akhir ia terasa seperti satu misi yang berlanjutan dan mempunyai penceritaan menarik untuk ‘dihabiskan’. Jika menghabiskan mod ini, pemain juga akan diberikan model watak Kratos pada waktu mudah untuk sesi permainan utama.
Akhir kata, God of War Ragnarok adalah satu permainan yang sangat baik, sangat baik semasa dilancarkan dan juga sangat baik 2 tahun kemudian untuk versi PC. Prestasi memuaskan dengan kebanyakan PC boleh bermain-nya dengan baik dan tidak perlu spesifikasi yang terbaru sahaja. Valhalla juga satu penambahan yang sangat baik untuk permainan yang sudah menghampiri kesempurnaan ini.