Skip to main content

Sebagai filem seram terlaris pada tahun 2022, tidak mengejutkan yang filem ini menerima filem susulan. Adakah Smile 2 mempunyai penceritaan yang mencukupi untuk menjadikan filem ini kekal menarik? Bagi saya, ia membawa satu penceritaan yang menarik dengan masih lagi menjadikan fokus kepada watak utama, dan bahagian mistik ataupun misteri menjadi bahagian sampingan, tetapi sebagai filem kedua saya lebih berharap imbangan di antara kedua ini adalah lebih seimbang.

Filem ini bermula beberapa hari selepas kejadian di dalam filem pertama dengan Joel lakonan Kyle Gallner daripada filem pertama cuba untuk menyelamatkan diri daripada entiti jahat dengan melakukan pembunuhan kejam, akan tetapi rancangannya gagal. Beberapa tempoh kemudian, selepas berlaku beberapa kejadian, entiti kemudian mengikut Skye Riley lakonan Naomi Scott iaitu seorang penyanyi yang sedang melakukan pengembaraan konsert selepas setahun berehat disebabkan kemalangan.

Sepanjang filem ini, Skye Riley tidak dapat membezakan realiti dan bayangannya, pada awalnya dia merasakan ia mungkin disebabkan tekanan daripada pengembaraan konsert tersebut, tetapi mula menyedari yang sesuatu yang lebih jahat sedang berlaku. Dia cuba mendapatkan bantuan daripada seorang bernama Morris yang memberi tahu dia mempunyai pengetahuan mengenai entiti tersebut. Pada masa yang sama, dia juga perlu menghadapi ibunya Elizabeth Riley lakonan Rosemarie DeWitt dan Darius lakonan Raul Castillo iaitu pemilik studio rakaman bagi Skye Riley.

Filem ini disampaikan dengan lebih memfokuskan tekanan yang dihadapi oleh Skye Riley, bukan sahaja berkait dengan entiti tersebut tetapi juga perkara-perkara luaran. Oleh itu, filem ini dipenuhi dengan tekanan serta keadaan yang sangat serabut kerana perkara-perkara ini, ini menjadikan satu filem yang cemas tetapi bagi saya ia bergantung sama ada anda berminat ataupun tidak kisah mengenai tekanan yang dihadapi oleh seorang selebriti. Kekuatan filem pertama adalah watak utama lebih senang untuk diikuti ataupun relatable, tetapi filem kedua ini sedikit sukar, namun ia mungkin bukan satu masalah untuk anda.

Menariknya, ataupun tidak, filem ini juga mengambil masa untuk membawa adegan konsert, nyanyian, bahkan hadir dengan muzik video, ia memberi lapisan tambahan kepada penceritaan tetapi saya merasakan yang ia tidak terlalu kena dengan tema filem ini dan menjadikannya sedikit janggal dan membuatkan penceritaan sedikit meleret.

Bahagian seram dilakukan dengan baik, akan tetapi saya tidak merasakan ia cukup dan inginkan lebih banyak lagi. Tambahan pada itu, kebanyakan adegan seram menggunakan teknik yang lebih kurang, kekurangan variasi ini mungkin yang menyebabkan saya merasakan adegan seram ini tidak mencukupi. Saya rasakan ada lebih banyak peluang untuk memasuki adegan ini dengan lebih kreatif ataupun dengan lebih berkesan untuk sentiasa membuatkan penonton tidak senang duduk.

Jika anda menyukai filem gory ataupun ganas, ada berita baik kerana ia satu perkara yang saya tidak mempunyai sebarang rungutan. Ia dilakukan dengan baik, dan setiap adegan ini membantu untuk menjadikan filem ini lebih menarik terutama selepas adegan-adegan panjang yang meleret. Saya juga tidak merasakan ada sebarang potongan semasa tayangan, oleh itu ia sesuatu yang baik dan tidak menjadikan mana-mana bahagian terasa janggal.

Akhir kata, Smile 2 masih membawa gaya penceritaan sama dengan filem pertama dengan menjadikan satu watak sebagai fokus utama dengan permasalahan mereka disampaikan sebagai satu realiti ataupun bayangan. Namun, bagi yang sudah tonton filem pertama, mungkin berharap yang misteri mengenai entiti dijelaskan lebih lanjut berbanding sekadar mengulangi perkara yang sama. Ia masih satu filem seram walaupun saya inginkan lebih lagi dan sudah semestinya satu filem yang gory, berita baik untuk yang menyukai elemen ini.

Smile 2
Satu penerusan penceritaan yang baik akan tetapi mengecewakan jika mengharapkan perkembangan di dalam penceritaan, namun masih lagi satu tontonan yang memuaskan terutama jika anda meminati adegan-adegan yang ganas.
Positif
Adegan ganas
Lakonan yang baik
Negatif
Tidak berkembang berbanding filem pertama
Adegan seram tidak mempunyai variasi mencukupi
7

Leave a Reply

Final Score