Selain mengumumkan Galaxy Tab S10, Samsung juga telah mengumumkan model tambahan untuk pilihan telefon pintar mereka iaitu Samsung Galaxy S24 FE yang menyasarkan untuk menjadi pilihan paling mampu milik bagi model telefon ini.
Galaxy S24 FE dilengkapi dengan paparan bersaiz 6.7-inci Dynamic AMOLED 2X dengan kadar kelancaran sehingga 120Hz, bagi cim pemprosesan ia dilengkapi dengan Exynos 2400 iaitu cip yang sama dengan S24+ tetapi mempunyai vapour chamber yang 1.1x lebih besar untuk memberi sistem penyejukan yang lebih baik.
Bagi bateri pula, ia hadir dengan kapasiti 4,700mAh dan sokongan pengecasan pantas. Kapasiti adalah lebih kecil berbanding S24+ tetapi sudah dijangkakan untuk menjadikan harga yang lebih rendah.
Seperti penawaran Samsung Galaxy S24 sebelum ini, ia menyertakan sokongan Samsung Knox untuk menjadikan telefon anda lebih selamat, dan juga fokus kepada pelbagai fungsi AI seperti circle to search oleh Google, penterjemah, dan bantuan nota.
Galaxy S24 FE ditawarkan dengan satu pilihan RAM iaitu 8GB dan dua pilihan storan iaitu 256GB dengan harga RM3,299 dan 512GB dengan harga RM3,899. Ia boleh ditempah bermula hari ini dan hadir dengan empat pilihan warna iaitu Blue, Graphite, Gray dan Mint.