Guerilla Games ketika acara State of Play telah mengumumkan yang Horizon Zero Dawn Remastered akan dilancarkan untuk PlayStation 5 dan PC pada 31 Oktober 2024. Membawa pemain kembali ke permulaan kisah Aloy dengan visual dan grafik yang lebih baik.
Versi penambah-baikkan ini dibangunkan oleh Nixxes yang menyertakan lebih 10 jam perbualan yang dirakamkan semula, mocap, dan juga pelbagai peningkatan grafik untuk membawa visual yang sama dengan permainan susulan iaitu Horizon Forbidden West.
Horizon Zero Dawn Remastered juga akan mengambil segala kelebihan yang tersedia di PlayStation 5 termasuk juga konsol akan datang PlayStation 5 Pro. Versi PC juga akan dipertingkatkan lagi dengan sokongan NVIDIA DLSS 3 dan AMD FSR 3.1.
Segala fungsi ketercapaian yang disertakan di dalam Horizon Forbidden West juga akan disertakan di dalam versi Remastered ini.
Pemain yang sudah memiliki Horizon Zero Dawn di PlayStation atau PC, termasuk juga mendapatkannya secara percuma melalui mana-mana penawaran sebelum ini dapat naik taraf dengan harga $9.99. Manakala untuk pembelian baharu ia akan ditawarkan dengan harga $49.99.