Apple secara rasminya melancarkan generasi terbaru untuk telefon pintar mereka iaitu iPhone 16 hari ini dan Malaysia buat pertama kali menjadi antara pasaran pertama yang menerima telefon ini. Seperti penawaran sebelum ini, ia hadir dengan empat pilihan model iaitu iPhone 16, iPhone 16 Plus, iPhone 16 Pro, dan iPhone 16 Pro Max. Sedikit perubahan yang dilakukan bagi penawaran untuk tahun ini adalah setiap model ini menyertakan saiz skrin yang berbeza iaitu 6.1-inci untuk iPhone 16, 6.7-inci untuk iPhone 16 Plus, 6.3-inci untuk iPhone 16 Pro dan 6.9-inci untuk iPhone 16 Pro Max.
Selepas menggunakan iPhone 14 Pro Max serta iPhone 14 Plus dan iPhone 15 Plus pada tahun lepas, tahun ini saya menjadikan iPhone 16 Pro pula sebagai telefon utama saya. Seperti saya nyatakan di atas, iPhone 16 Pro hadir dengan saiz skrin serba baharu iaitu 6.3-inci, hadir daripada iPhone yang bersaiz 6.7-inci tahun-tahun lepas, saya boleh katakan yang pengurangan saiz .4-inci ini terasa semasa penggunaannya, namun ia bukanlah perkara yang negatif kerana saya terasa lebih selesa untuk menggunakan telefon ini dengan sebelah tangan tetapi sedikit merindui skrin yang besar terutama bagi bermain permainan mudah alih ataupun kandungan hiburan.
Jika anda sebelum ini hadir daripada iPhone yang bersaiz 6.1-inci, penambahan .2-inci akan menjadi perkara yang positif. Walaupun dimensi iPhone 16 Pro sedikit lebih besar berbanding iPhone 15 Pro ataupun iPhone 15 akan tetapi ia tidak terlalu jelas perbezaannya dan saya boleh katakan anda tidak akan terasa penambahan dimensi ini. Tambahan lagi, iPhone 16 Pro menyertakan nisbah skrin ke badan yang lebih tinggi iaitu lebih kurang 90.1% berbanding 88% untuk model yang lepas, ini membantu untuk tidak menjadikan telefon terasa besar walaupun penambahan beberapa inci skrin ini.
Bercakap mengenai skrin, selain daripada saiz skrin yang lebih besar, iPhone 16 Pro boleh dikatakan menyertakan panel yang sama dengan iPhone 15 Pro sebelum ini, iaitu Super Retina XDR Display dengan panel OLED, ia menyertakan resolusi 2622×1206 dengan 460 ppi. Teknologi ProMotion juga terus ada untuk memberikan kadar segar semula sehingga 120Hz. Bagi kecerahan ia boleh mencapai 1,000 nits untuk penggunaan biasa, 1,600 nits untuk HDR, 2,000 nits semasa di luar dan kecerahan paling rendah adalah 1 nit. Ini adalah skrin terbaik di iPhone oleh itu saya berpuas hati dengan kualiti paparan semasa bermain permainan mudah alih ataupun sedang menonton apa-apa kandungan.
Binaan badan, iPhone 16 Pro dihasilkan dengan Titanium yang memberikan kekemasan yang premium, ia hadir dengan 4 pilihan warna iaitu Desert Titanium, Natural Titanium, White Titanium dan Black Titanium. Model yang saya gunakan adalah Natural Titanium yang saya boleh katakan menghampiri warna kelabu. Ketebalan pula adalah sama sahaja dengan iPhone 15 Pro sebelum ini oleh itu ia tidak akan terasa berlainan jika anda biasa menggunakan model tersebut sebelum ini.
Satu penambahan yang hadir untuk kesemua model iPhone 16 adalah Kawalan Kamera yang berada di tepi dan di bawah butang kuasa. Secara lalai ia menyokong untuk penggunaan kamera sama ada untuk mengambil gambar, zum dan mengubah tetapan kamera seperti exposure dan depth of field ataupun mengubah Photographic Styles dan tone. Saya boleh katakan yang berbanding kebanyakan fungsi baharu yang diperkenalkan oleh Apple di telefon pintar mereka, Kawalan Kamera ini paling mengambil masa untuk saya biasakan akan tetapi selepas itu ia menjadi penambahan yang baik terutama yang sering mengambil gambar ataupun video.
Sudah menjadi kebiasaan bagi iPhone versi Pro, ia akan menggunakan cip pemprosesan terbaik bagi iPhone, dan begitu juga untuk iPhone 16 Pro yang menggunakan cip baharu iaitu A18 Pro yang menurut Apple menyertakan prestasi 15% lebih pantas berbanding A17 Pro yang digunakan bagi iPhone 15 Pro dan juga iPhone 15 Pro Max. Seperti biasa saya saya mengujinya menggunakan permainan-permainan oleh HoYoverse iaitu Genshin Impact, Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero. Ketiga-tiga permainan memberikan prestasi yang memuaskan dengan dapat menggunakan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah.
Saya akan menguji lagi prestasi cip ini, tetapi berdasarkan pengalaman sebelum-sebelum ini tiada masalah untuk bermain permainan-permainan mudah alih yang kebiasaan. Oleh itu fokus saya sudah semestinya untuk menguji menggunakan permainan-permainan ‘tahap konsol’ seperti Resident Evil 4 dan Assassin’s Creed Mirage yang saya akan kongsi-kan pengalamannya semasa ulasan kelak.
iPhone 16 Pro menyertakan 4 pilihan storan iaitu 128GB, 256GB, 512GB dan 1TB yang memberi pilihan kepada pengguna mengikut keperluan. iPhone 16 Pro yang saya guna mempunyai storan 1TB, sama seperti iPhone 14 Pro Max yang saya guna sebelum ini dan daripada pengalaman saya, 1TB adalah satu storan yang sangat mencukupi. Walaupun menggunakan iPhone 14 Pro Max hampir 2 tahun, saya sekadar menggunakan sekitar 400GB sahaja.
Bagi harga, ia ditawarkan dengan harga RM4999 untuk 128GB, RM5499 untuk 256GB, RM6499 untuk 512GB dan RM7499 untuk 1TB. Tempahan boleh dilakukan melalui laman rasmi Apple dengan penghantaran 2-3 minggu, beberapa model juga boleh diambil hari yang sama ataupun boleh lakukan tempahan melalui pengedar rasmi dan juga penyedia rangkaian.