Speak No Evil, filem yang diarah dan juga ditulis oleh James Watkins ini boleh dikatakan sebagai filem penghasilan semula untuk filem Denmark berjudul sama yang diterbitkan pada tahun 2022, namun, oleh kerana saya tidak menonton filem asal tersebut saya tidak akan melakukan perbandingan dan filem ini akan dinilai secara kendiri.
Filem ini memfokuskan kepada satu keluarga iaitu Ben Dalton lakonan Scoot McNairy, isterinya Louise Dalton lakonan Mackenzie Davis dan adan perempuan mereka Agnes Dalton lakonan Alix West Lefler. Semasa bercuti Itali mereka telah berjumpa dengan seorang doktor yang sudah bersara iaitu Paddy lakonan James McAvoy, dia juga bersama dengan isteri bernama Ciara lakonan Aisling Fraciosi dan seorang anak lelaki bernama Ant lakonan Dan Hough.
Selepas percutian di Itali, Paddy telah mengajak Ben untuk melawat rumah ladangnya di luar bandar, dengan keadaan keluarga mereka tegang, Ben bersetuju untuk menerima jemputan Paddy tersebut dan membawa anak serta isterinya bersama. Pada awalnya, ia adalah seperti satu percutian akan tetapi keadaan menjadi makin tidak baik apabila Paddy bersikap aneh, dan dia juga agak kasar di dalam menjaga Ant. Perkara-perkara ini membuatkan Ben dan Louise berasa tidak selesa tetapi demi menghormati jemputan mereka terus berada di sana sehinggalah keadaan menjadi lebih teruk berbanding jangkaan mereka.
Bagi satu filem thriller, bahagian awal filem ini tidak bergantung harap kepada adegan-adegan yang mendebarkan, sebaliknya lebih memfokuskan kepada dialog dan juga kelakuan Paddy yang sangat menjengkelkan. Mungkin akan ada yang terasa ia sedikit membosankan, kerana sekadar dialog akan tetapi James McAvoy membawa wataknya dengan sangat baik dan pilihan pengarah untuk menyampaikan bahagian thriller ini melalui dialog dan kelakuan watak bagi saya menjadi dan membuatkan bahagian kedua yang lebih kepada thriller aksi lebih berkesan.
Bahagian kedua filem ini mula melibatkan pelbagai aksi yang ada juga ganas dan akan menjadikan filem ini lebih menarik dan saya boleh katakan yang bahagian kedua ini juga dilakukan dengan baik. Ia tidak terlalu bergantung harap kepada kejutan, akan tetapi lebih kepada menyentuh naluri fight-or-flight di dalam saya dan memberi perasaan tegang. Setelah filem ini memasuki bahagian kedua ini, ia berlaku tanpa henti yang sentiasa membuatkan saya berada di hujung kerusi.
Penonton yang meminati gory, saya boleh katakan Speak No Evil memberikan bahagian ini dengan mencukupi. Ia bukan satu filem yang dipenuhi dengan perkara-perkara berdarah atau ganas, tetapi masih memuaskan untuk yang menantikannya. Bahagian kejar mengejar juga dilakukan dengan baik, setiap adegan adalah tegang, ada perasaan takut ditambah lagi geram, kesemua ini membantu untuk menjadikannya sebagai satu filem thriller yang baik dan memuaskan.
Kesemua ini menjadi lebih baik kerana lakonan yang baik oleh kesemua pelakon, terutama James McAvoy dan pelakon kanak-kanak yang ada juga menyampaikan watak mereka dengan sangat berkesan dan menjadi bahagian penting untuk filem ini. Pelbagai lapisan untuk permasalahan pasangan Ben dan Louise juga memberi nilai tambah kepada watak mereka.
Akhir kata, Speak No Evil merupakan satu filem thriller yang baik dan memuaskan. Filem ini dengan baik membahagikan kepada bahagian pembinaan dengan dilakukan melalui dialog dan lakonan yang baik oleh James McAvoy sebelum memasuki bahagian yang lebih ‘thrill‘ dan mungkin lebih digemari bagi peminat-peminat genre ini.