Bloomberg melaporkan yang kesemua 25 orang pekerja Annapurna Interactive telah meletakkan jawatan selepas perselisihan dengan pemilik Annapurna iaitu Megan Ellison. Annapurna Interactive merupakan bahagian penerbitan permainan video yang sebelum ini menerbitkan permainan seperti Stray, Neon White, dan Journey.
Nathan Gary iaitu bekas presiden untuk Annapurna Interactive mengetuai 25 pekerja ini mengatakan yang mereka terpaksa mengambil keputusan yang berat ini dan ia tidak dilakukan dengan mudah. Sebelum ini mereka mengadakan perbincangan dengan Mega Ellison untuk menjadikan Annapurna Interactive sebagai sebuah entiti bebas.
Annapurna melalui kenyataan yang diberikan kepada Bloomberg mengatakan yang fokus utama mereka pada waktu ini adalah untuk terus memberikan sokongan kepada pembangun yang mempunyai perjanjian dengan mereka. Kenyataan itu juga mengatakan yang kesemua permainan dan projek akan terus berada di bawah Annapurna.
Pada awal bulan ini, Remedy Entertainment antara yang paling baru mengumumkan perjanjian dengan Annapurna untuk permainan Control 2 dan juga mengembangkan lagi IP Control serta Alan Wake melalui produk audiovisual.