Pada masa kini, setiap hari boleh dikatakan lebih dari 50 permainan video dilancarkan di mana-mana platform. Dari permainan video di platform PC, sehinggalah kepada PlayStation dan juga Playdate, sekiranya darah anda sebagai seorang pemain masih mengalir dalam badan, anda tidak akan kehabisan permainan. Namun, adakalanya obsesi terhadap satu permainan menjadi melampau, sehinggakan terjadinya isu ‘beli permainan, belum bermain’, mengakibatkan anda tidak bermain permainan lain dan ketagih dengan satu permainan sahaja.
Untuk saya, walaupun saya sudah membeli God Of War Ragnarok untuk PS5, saya masih tidak habis bermain kerana ketagihan Don’t Starve dan Sniper Elite. Adakalanya saya bermain Zelda Tears of The Kingdom walaupun telah melebihi 100 jam dan telah menghabiskan keseluruhan jalan cerita. Untuk permua, ada beberapa ketika saya sangat ketagih bermain PUBG Mobile dan juga Clash Royale. Namun untuk artikel hari ini saya ingin mengulas satu permainan yang saya ketagih bermain, dan tidak banyak dipromosikan iaitu Mini Metro.
Permainan Simulasi Sistem Keretapi Yang Minimalis
Mini Metro merupakan permainan dari Dinosaur Polo Club yang dilancarkan pada tahun 2015, akan tetapi saya mula bermain seawal tahun 2017 apabila ia tersedia untuk platform iOS, malah sebelum Apple Arcade dilancarkan. Pemain akan mengambil tanggungjawab bagaikan perancang sistem pengangkutan bandar, dan perlu memastikan penumpang sampai ke destinasi menaiki tren. Permainan bermula dengan tiga ‘laluan’ yang dibezakan menerusi warna, dan pemain perlu menyambungkan setiap stesen yang dibezakan menerusi bentuk.
Bermula dengan tiga bentuk am iaitu segiempat, segitiga, dan sfera, pemain perlu menyambungkan ketiga-tiga stesen ini dengan cara melukis laluan. Seiring dengan masa, stesen lain akan wujud, baik dalam bentuk segitiga, sfera, atau mungkin bentuk unik yang lain seperti bintang, daun, permata dan bermacam lagi. Di setiap stesen ini, akan timbul bentuk lain. Seperti contoh di stesen segitiga, terdapat bentuk segiempat yang kecil, menandakan penumpang di stesen tersebut ingin pergi ke stesen segiempat. Begitu juga jika di stesen permata terdapat bentuk bintang kecil, maka penumpang itu ingin pergi ke stesen bintang.
Dan setiap akhir minggu, pemain akan menerima penambahan tren, perlu memilih antara pilihan ‘laluan’ – bagi menambah jajaran perjalanan atau ‘koc tambahan’ – bagi membolehkan lebih ramai penumpang dibawa, atau ‘terminal utama’ yang boleh menampung pertukaran penumpang dengan lebih ramai. Terdapat juga pilihan seperti jambatan atau terowong, bagi menyambungkan laluan antara pulau atau menyeberang sungai, tertakluk kepada bandar yang dipilih.
Cabaran bermula apabila penumpang lambat sampai ke destinasi, menghasilkan kesesakan pada satu stesen. Permainan akan tamat sekiranya satu stesen mengalami kesesakan penumpang. Ia jelas dinyatakan menerusi bunyi yang ringkas memberikan amaran mengenai kesesakan stesen. Markah permainan pula dikira berdasarkan jumlah penumpang yang dibawa dan terdapat carta kedudukan untuk pemain di seluruh dunia. Setiap hari juga terdapat cabaran yang diberikan untuk bandar dan mod tertentu, dan pemain tentu sahaja boleh turut serta dalam cabaran ini.
Mini Metro juga direka dengan mengambil inspirasi bandar-bandar terkemuka, dan pemain berpeluang untuk mereka sistem pengangkutan bandar-bandar popular seperti London, New York, Washington, Singapura, Barcelona, Tokyo, Paris dan bermacam lagi. Malah untuk beberapa bandar juga terdapat keunikan tersendiri seperti contoh Osaka yang membolehkan pemain menggunakan Shinkansen – keretapi berkelajuan tinggi atau Cairo yang hanya boleh membawa 4 penumpang maksimum dalam satu koc. Ini sekaligus memberikan lebih cabaran untuk pemain dalam memastikan kesemua penumpang masih sempat sampai ke destinasi.
Ketagihan Permainan Yang Memerlukan Kepandaian
Sekali pandang permainan ini tampak ringkas atau mudah, akan tetapi seiring peredaran masa dan pertambahan stesen setiap hari, akan merumitkan tugasan pemain sebagai perancang perjalanan di bandar tersebut. Setiap laluan adalah bersifat dua hala, kecuali jika laluan direka menghasilkan jajaran lengkap bersambung tanpa terminal awal dan terminal akhir. Rekaan laluan juga memainkan peranan penting, adakalanya lebih baik untuk melakukan satu laluan bersambungan yang besar secara dua hala, atau laluan biasa yang mempercepat perjalanan antara stesen.
Salah satu keunikan permainan ini adalah setiap stesen muncul secara rawak, sekaligus memberikan pengalaman baharu setiap kali anda bermain Mini Metro. Tiada satu sesi permainan pun yang sama, kerana apabila permainan tamat disebabkan kesesakan, permainan akan bermula semula jadi ia memerlukan anda untuk mengatur laluan anda dengan baik dan menghubungkan kesemua stesen. Terdapat tiga mod selain Normal bagi menambah cabaran permainan seperti mod Extreme yang tidak membenarkan anda menyunting laluan apabila disambungkan, mod Endless yang membolehkan anda bermain secara terus-menerus kerana stesen tidak akan sesak, atau mod Creative yang membolehkan anda menyunting dan mengalihkan stesen.
Bagi saya sendiri, saya kerap bermain mod Normal kerana ia adalah pilihan termudah. Rekod tertinggi saya adalah 4,826 untuk bandar Washington, meletakkan saya sebagai pemain teratas 1% didunia dengan kedudukan 199 sewaktu artikel ini ditulis. Meskipun begitu, saya masih mempunyai markah rendah di beberapa bandar, berkemungkinan kerana tidak bereksperimen dengan rekaan laluan yang lebih efisien.
Bagi saya, tiada apa yang perlu ditambah baik untuk permainan ini kerana ia sangat minimalis, ia sangat mencabar dan paling penting ia masih percuma. Terdapat satu lagi permainan dari pembangun ini iaitu Mini Motorways namun ia memerlukan langganan Apple Arcade. Namun mungkin ada baiknya bagi pembangun Mini Metro menambah lagi pilihan bandar-bandar lain seperti Kuala Lumpur. Saya pasti masih akan bermain apabila kemaskini baharu diberikan untuk permainan ini.