Skip to main content

Jika anda merindui gadingan JOZAN – Johan dan Zizan ataupun filem arahan Dato’ Afdlin Shauki, filem Baik Punya Ah Long ini dapat serba sedikit mengisi kerinduan tersebut. Namun, saya boleh katakan ia bukanlah satu filem terbaik yang pernah dilakonkan oleh mereka berdua ataupun filem terbaik yang diarahkan oleh Afdlin Shauki. Filem ini mempunyai idea yang baik, penyampaian yang menarik akan tetapi penstrukturan cerita mengganggu pengalaman tontonan kerana ia tidak dilakukan dengan kemas menyebabkan banyak bahagian plot yang kurang memberi impak.

Filem ini adalah mengenai adik beradik Aley lakonan Johan dan Aloy lakonan Zizan yang berbangsa Melayu tetapi dibesarkan oleh pemilik taman tema berbangsa Cina yang dianggap sebagai bapa mereka iaitu Ah Long lakonan Chew Kinwah. Walaupun sudah dewasa, mereka tidak pernah bekerja dan hidup goyang kaki. Sehinggalah Ah Long menghalau mereka daripada rumah dan memberikan mereka modal dan masa 3 bulan untuk membina perniagaan sendiri. Tidak tahu untuk melakukan apa, mereka menyediakan perkhidmatan meminjam wang tanpa bunga.

‘Perniagaan’ mereka tersebut telah menyebabkan mereka menjadi sasaran kumpulan penjahat yang diketuai oleh Lan Panda lakonan Dato’ Afdlin Shauki dan orang bawahnya iaitu Karim Kangaroo lakonan Adlin Aman Ramlie serta Cassandra Khutub lakonan Adibah Noor yang juga menyediakan khidmat meminjam wang. Pada masa yang sama, Aley dan Aloy juga sama-sama jatuh hati kepada Cik Pa lakonan Liyana Jasmay yang mempunyai kedai menjahit baju bersebelahan dengan kedai mereka. Pelbagai ragam berlaku dengan Aley dan Aloy yang tidak tahu bagaimana nak mengutip hutang, Lan Panda yang juga berminat dengan Cik Pa dan juga membenci Aley dan Aloy kerana mengganggu perniagaannya.

Seperti saya katakan, filem ini mempunyai konsep ataupun idea yang baik, dengan pergaduhan di antara peminjam wang yang membawa kepada judul filem ini “Ah-Long” dan juga bagaimana mereka berdua bersama dengan ketua penjahat juga menyukai wanita yang sama, akan tetapi penyampaian penceritaan membuatkan kesemua bahagian ini tidak berkembang dengan baik. Bahagian bagaimana mereka melakukan perniagaan tidak disampaikan dengan baik, bahagian bagaimana mereka berdua meminati wanita yang sama tidak dikembangkan dengan baik, kisah yang melibatkan Lan Panda dan konco-konconya juga tidak dilakukan dengan baik. Ini mengakibatkan tiada jalan cerita yang saya rasa dilakukan dengan menarik.

Filem ini penuh dengan bahagian plot yang baik, ataupun kejutan, tetapi kerana ia disampaikan dengan kurang baik, ia tidak memberikan impak seperti yang saya harapkan. Saya merasakan yang jika beberapa bahagian plot dibuang ataupun diringkaskan dan memberi tumpuan kepada plot-plot yang lebih penting, ia akan menjadikan filem ini lebih mudah untuk diikuti.

Ini juga memberi kesan kepada watak, walaupun watak Aley dan Aloy mengisi sebahagian besar filem ini, watak-watak mereka tidak berkembang daripada awal sehingga akhir yang bagi saya sangat merugikan. Tambahan lagi untuk watak-watak lain yang tidak mempunyai bahagian sebanyak Aley dan Aloy, watak Cik Pa terasa sebagai pengisi plot sahaja, watak Lan Panda, Karim Kangaroo dan Cassandra Khutub walaupun menjadi penyampai komedi utama bersama dengan Aley dan Aloy juga terasa sangat mendatar. Gandingan JOZAN juga terasa kurang menarik kerana mereka sekadar mengulangi gaya jenaka yang sama.

Baik Punya Ah Long juga merupakan filem muzikal dengan Afdlin Shauki memilih untuk menyampaikan beberapa adegan secara nyanyian, termasuk juga menukar dialog-dialog sebagai lirik. Perkara ini serba sedikit menjadikan filem ini lebih menarik tetapi jika ingin dibandingkan dengan filem-filem muzikal yang lain, saya tidak merasakan ada mana-mana lagu di dalamnya yang saya anggap sebagai memorable tetapi mencukupi sebagai lapisan tambahan untuk menyampaikan bahagian-bahagian tertentu bagi filem ini, tarian-tarian yang disertakan juga memberi lebih warna kepada keseluruhan penceritaan.

Akhir kata, Baik Punya Ah Long mempunyai idea atau konsep penceritaan yang baik akan tetapi penyampaian sedikit bercelaru yang menyebabkan tiada bahagian penceritaan benar-benar berkembang. Perkara yang sama juga berlaku untuk watak, walaupun terdapat ramai watak yang menarik dan unik akan tetapi setiap watak ini terasa mendatar daripada awal filem sehinggalah berakhir. Satu-satunya perkara yang menjadikan filem ini lebih menarik adalah ia merupakan satu filem muzikal yang mempunyai beberapa lagu menarik dan dijadikan sebagai penggerak plot, cuma saya boleh katakan tiada lagu yang memorable ataupun membuatkan saya menyanyi di luar pawagam.

Baik Punya Ah Long ditayangkan di pawagam bermula 12 September 2024.

Baik Punya Ah Long
Baik Punya Ah Long mempunyai idea atau konsep penceritaan yang baik akan tetapi penyampaian sedikit bercelaru yang menyebabkan tiada bahagian penceritaan benar-benar berkembang. Perkara yang sama juga berlaku untuk watak, walaupun terdapat ramai watak yang menarik dan unik akan tetapi setiap watak ini terasa mendatar daripada awal filem sehinggalah berakhir.
Positif
Penyampaian secara muzikal yang menarik
Kepelbagai cabang plot
Negatif
Penyampaian yang kurang berkesan
Jenaka mengulangi gaya yang sama
Setiap watak kurang menyerlah
6

Leave a Reply