Skip to main content

Sony hari ini mengadakan sebuah acara, sekaligus membuat kejutan dengan memperkenalkan PlayStation 5 Pro secara rasminya. Menjadi fokus utama pada PS5 Pro ini adalah sokongan grafik yang lebih baik melaluinya berbanding PS5 sebelum ini, sekaligus menawarkan pengalaman permainan pada resolusi lebih baik, dengan kesan khas yang lebih memukau.

Tiga perkara menjadi fokus utama pada PlayStation 5 Pro ini, iaitu sokongan GPU yang lebih baik, “Advanced Ray-Tracing”, dan juga penggunaan kecerdasan buatan dalam menawarkan resolusi lebih baik. Melalui perbandingan yang diperlihatkan, PlayStation 5 Pro menawarkan sokongan grafik yang jauh lebih baik berbanding PS5 sebelum ini.

Sony menjayakan perkara ini melalui kuasa perkomputeran yang lebih tinggi pada PS5 Pro – sekitar 67% lebih baik, sekaligus membolehkan pengguna menikmati permainan yang lancar dalam penawaran grafik yang berkuasa. Sony turut menamakan teknologi “AI Upscalling” mereka sebagai PlayStation Spectral Super Resolution, atau diringkaskan sebagai PSSR, dan disertakan bersama PS5 Pro ini.

Disamping itu, melalui PS5 Pro Game Boost, para pemain boleh memainkan lebih 8500 permainan PS4 terus pada PS5 Pro baharu ini. Ciri ini akan menstabilkan prestasi permainan PS4, bersama-sama penambah-baikkan kualiti imej dan lain-lain.

Sony mengatakan mereka mengekalkan saiz ketinggian dan kelebaran sama seperti produk PS5 yang lain, sekaligus membolehkan anda menggunakan aksesori sedia ada PS5 bersama-sama dengannya.

Sony PlayStation 5 Pro ini akan ditawarkan bermula bulan November 2024 ini. Sama-sama kita nantikan lanjut berkenaan penawaran konsol ini untuk pasaran Malaysia.

Leave a Reply