Beetlejuice Beetlejuice merupakan filem arahan Tim Burton yang terkenal dengan gaya visual yang unik dan imaginatif. Filem ini menampilkan Michael Keaton sebagai satu roh bernama Betelgeuse (Beetlejuice), Filem ini merupakan sekuel kepada filem Beetlejuice yang diterbitkan pada tahun 1988 dengan pelakon seperti Michael Keaton, Winona Ryder, dan Catherine O’Hara kembali membawa watak mereka bersama dengan beberapa pelakon baharu seperti Jenna Ortega, Justin Theroux, Monica Bellucci, Willem Dafoe dan Burn Gorman.
Dari segi plot, Beetlejuice Beetlejuice mengikuti usaha Lydia (lakonan Winona Ryder) yang masih trauma dengan kejadian di dalam filem pertama, namun akibat kerjayanya sebagai hos untuk rancangan berkait dengan hantu dia perlu menggunakan kelebihannya yang dapat melihat roh. Dia juga mempunyai masalah untuk berhubung termasuk juga dengan anak anak perempuannya Astrid lakonan Jenna Ortega. Namun, selepas Astrid memasuki dunia roh, Lydia terpaksa meminta bantuan daripada Betelgeuse untuk menyelawatkannya. Pada masa yang sama, filem ini juga menyertakan Delores lakonan Monica Bellucci yang merupakan bekas isteri kepada Betelgeuse dan dia ingin mencari Betelgeuse untuk membalas dendam.
Bahagian pertama filem ini agak perlahan dan boleh dikatakan membosankan. Ia mengambil masa yang lama untuk membina momentum, dengan babak-babak awal yang tidak begitu menarik atau menonjolkan apa-apa yang luar biasa. Filem ini cuba untuk membina watak-watak yang ada tetapi di dalam melakukannya ia tidak sangat menggerakkan filem ini, watak Astrid contohnya terasa sangat memaksa sebelum menjadi sebahagian daripada plot yang penting. Ia mungkin ingin disampaikan dengan lebih santai, tetapi saya mengharapkan sesuatu yang lebih menarik terutama untuk membuka plot.
Walaupun begitu, bahagian kedua filem ini mula menunjukkan peningkatan, dengan lebih banyak aksi dan jenaka terutama dengan penglibatan watak Beetlejuice. Penceritaan mula bergerak dengan lebih pantas, dengan pelbagai watak mula memainkan peranan mereka dengan lebih lagi. Terdapat juga pelbagai adegan-adegan menarik yang mula diperlihatkan dengan kekuatan penghasilan dunia yang aneh oleh Tim Burton mula kelihatan, terutama dengan pengenalan watak-watak ‘roh’ yang lain seperti Wolf Jackson lakonan Willem Dafoe yang menjadi menjadi detektif walaupun dengan gaya lakonan sahaja. Walaupun begitu saya masih mendapati yang beberapa bahagian ataupun jenaka yang disampaikan terasa agak lemah.
Saya juga boleh katakan yang berbanding filem-filem Tim Burton sebelum ini, Beetlejuice Beetlejuice terasa agak kurang imaginatif. Gaya visual yang biasanya menjadi kekuatan Tim Burton terasa lebih lemah kali ini, dengan latar yang tidak begitu memukau dan tidak banyak elemen kreatif baharu yang diketengahkan. Walaupun kurang menyerlah untuk rekaan dunia ataupun imaginasi, saya masih boleh katakan yang ia adalah filem yang lebih baik jika ingin dibandingkan dengan filem sebelum ini seperti Dumbo dan Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children.
Secara keseluruhan, Beetlejuice Beetlejuice merupakan satu filem yang masih mengekalkan apa yang menarik daripada filem tahun 1988 sebelum ini. Ia bermula dengan perlahan dengan pengenalan watak, terutama untuk watak-watak baharu kurang berkesan dan lebih terasa memaksa akan tetapi selepas momentum bermula, terutama dengan lebih penglibatan Beetlejuice, ia menjadi satu filem yang penuh dengan babak-babak menarik. Walaupun satu filem yang lebih baik berbanding filem-filem terkini Tim Burton, filem ini terasa sedikit hambar daripada rekaan dunia yang kurang imaginatif.