Permainan simulasi bola sepak akan datang UFL yang sepatutnya dilancarkan pada 12 September ini telah ditunda beberapa bulan ke 5 Disember 2024. Strikerz Inc, pembangun untuk permainan ini mengatakan yang mereka ingin mengambil masa untuk mempertingkatkan lagi pengalaman umum bermain permainan ini.
Mereka mengatakan yang berdasarkan maklum balas yang diterima melalui dua sesi beta dan juga sesi percubaan yang melibatkan lebih 2 juta pemain, membuatkan mereka perlu mengambil tambahan masa ini walaupun permainan ini sebenarnya boleh sahaja dilancarkan seperti diumumkan sebelum ini.
Bagi pemain yang sudah melakukan pra-tempahan untuk pek-permulaan, kelebihan akses awal masih kekal tetapi ia sekarang ditunda ke 28 November.
UFL diumumkan sebagai alternatif untuk siri permainan EA FC yang dikatakan mementingkan kepada kemahiran dan tatamain berbanding pembelian di dalam permainan, ia juga dilancarkan sebagai permainan percuma.
Dengan UFL ditunda ke bulan Disember, ini memberi ruang kepada EA Sports FC 25 untuk dilancarkan pada 27 September ini tanpa sebarang ‘cabaran’.