Moonton Games dengan kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan dan Esports Integrated (ESI) telah mengumumkan yang Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim Ke-14 akan bermula pada 7 September ini sehingga 3 November 2024.
Kejohanan ini dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Regular Season yang akan berlangsung bermula pada 7 September sehingga 13 Oktober iaitu selama 6 minggu dengan dianjurkan setiap hari Jumaat sehingga hari Sabtu di Stadium MBSJ Serdang Jaya.
Setiap perlawanan akan dimainkan secara BO3.
Manakala 6 pasukan terbaik daripada peringkat Regular Season akan beralih ke peringkat Playoffs yang akan bermula pada 31 Oktober sehingga 3 November, peringkat ini akan beralih ke tempat baharu iaitu Johor. Ini akan menjadikan buat pertama kali kejohanan ini berlangsung di luar Lembah Klang, penganjuran ini dilakukan dengan kerjasama bersama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ).
Dengan dua pasukan terbarik daripada MPL Malaysia Musim Ke-14 akan mewakili negara ke M6 Championship, Moonton juga menjenamakan kejohanan kali ini sebagai MPL M6laysia yang juga sebagai tanda Malaysia menjadi tuan rumah untuk kejohanan terbesar Mobile Legends tersebut.
Selain merebut slot ke M6 Championship, kejohanan ini juga menawarkan hadiah terkumpul $100 ribu (~RM437 ribu).