FIFAe World Cup 2024 ft. Football Manager bermula hari ini iaitu kejohanan esukan untuk permainan Football Manager yang dianjurkan oleh FIFA dan menawarkan hadiah terkumpul $100 ribu.
Kejohanan ini melibatkan 20 peserta yang mewakili 19 anggota FIFA (negara) termasuk juga Malaysia yang diwakili oleh Noor Muhammad Kamaruddin (Matt-K) sebagai pengurus dan Muhamad Naqsyabandi Bin Absah (Aysqan) sebagai penolong pengurus.
Ia akan berlangsung selama 4 hari iaitu bermula hari ini sehingga 1 September 2024 dan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu, peringkat kumpulan berlangsung selama 3 hari dan hari keempat peringkat kalah mati.
Di peringkat kumpulan, 20 pemain dibahagikan kepada 4 kumpulan, dengan wakil Malaysia berada di Kumpulan D bersama dengan pemain dari Peru, England, Switzerland dan Lithuania. Bagi peringkat ini, setiap kumpulan akan diberikan satu kelab yang perlu diurus, untuk Kumpulan D mereka perlu mengurus pasukan Dinamo.
Setiap pemain perlu mengurus selama tiga musim dengan pengurus terbaik untuk setiap kumpulan akan melayakkan diri ke peringkat kalah mati. Di peringkat ini mereka akan bermain Fantasy Draft dengan bajet yang ditentukan oleh FIFA.
Anda boleh mengikut perkembangan kejohanan ini melalui laman rasmi FIFA.