Blink Twice merupakan filem misteri dan thriller yang yang juga filem pertama untuk Zoe Kravitz sebagai pengarah. Filem ini adalah mengenai Frida lakonan Naomi Ackie yang merupakan seorang pelayan bersama dengan rakannya Jess lakonan Alie Shawkat. Tempat Frida bekerja menjadi tempat acara untuk Slater lakonan Channing Tatum yang merupakan seorang jutawan. Frida yang tertarik dengan Slater telah menyamar menjadi tetamu berbanding pelayan dan berjaya untuk menghampiri Slater.
Slater juga kelihatan mempunyai perasaan terhadap Frida dan meluangkan kebanyakan masa bersama, dan dia telah mengajak Frida bersama dengan Jess untuk sertai tetamunya pergi ke pulau peribadinya. Tidak ingin terlepas peluang, Frida dan Jess bersetuju. Pada awalnya, keadaan di pulau adalah sangat meriah dengan mereka berparti tanpa henti dan Frida juga terasa seperti seorang yang dihargai. Keadaan menjadi mencurigakan apabila Frida dapati Jess tidak lagi bersama dengan mereka dan tetamu-tetamu lain tidak langsung sedar kewujudan Jess.
Bahagian pertama filem ini lebih meluangkan masa untuk memperlihatkan Frida bersama dengan tetamu-tetamu berhibur dan berseronok di pulau tersebut, dan bagi saya ia terasa terlalu lama dan selepas seketika ia menjadi kurang menarik dan berulang. Bahagian ini saya boleh katakan bagaikan melihat muzik video oleh Kayne West. Zoe Kravits yang pertama kali menjadi pengarah mungkin terlalu ingin memperlihatkan gayanya sendiri tetapi bagi saya banyak arahan serta pilihan adegan terasa janggal, ia kelihatan unik tetapi kurang menarik. Saya juga tidak menyukai pilihan warna yang digunakan di dalam filem ini, kerana ia kelihatan terlalu terang tetapi ia mungkin pilihan kreatif of Zoe Kravits dan mungkin disukai oleh penonton.
Oleh kerana pada bahagian pertama masih tiada perkara yang aneh berlaku, filem ini sebaliknya menggunakan gaya rakaman, dialog untuk memberikan perasaan thrill akan tetapi ia kurang menjadi dan ada masa kelihatan sangat janggal. Saya faham yang ia ingin digunakan untuk memberi impak yang lebih besar bagi bahagian kedua filem ini, namun saya merasakan yang ia mungkin boleh diringkaskan ataupun dipendekkan lagi dan memberi lebih ruang untuk bahagian kedua filem ini iaitu bahagian yang menjadikan filem ini lebih menarik.
Bahagian kedua yang memfokuskan kepada Frida yang mula menyedari perkara aneh berlaku di pulau tersebut, bahagian ini yang menjadikan filem ini lebih cemas dan menarik. Filem ini juga bergerak dengan lebih pantas di bahagian ini dan tidak membosankan. Pilihan untuk menggunakan imbas kembali di bahagian ini juga menjadikan ia lebih menarik terutama kerana ia bersesuaian dengan apa yang berlaku di pulau tersebut. Namun, bahagian klimaks filem ini terasa terlalu cepat berakhir terutama untuk yang melibatkan watak-watak yang lain. Lebih baik jika dikurangkan bahagian pertama dan lebihkan bahagian ini yang sudah semestinya menjadikan filem ini lebih menarik.
Filem ini mempunyai pengakhiran yang memuaskan dan juga menarik, pengakhiran yang diperlihatkan merumuskan dengan baik mesej yang cuba di bawa oleh filem ini, dan ia sekurang-kurangnya membuatkan saya keluar daripada menonton filem ini dengan sedikit rasa puas, walaupun pada bahagian awal ia tidak membantu sangat untuk menjadikannya menarik.
Akhir kata, Blink Twice mempunyai premis yang menarik, Zoe Kravitz di dalam debutnya sebagai pengarah juga melakukan satu arahan yang baik walaupun terdapat sebahagian terasa sangat janggal dan sedikit membosankan terutama pada bahagian pertama filem ini. Namun, apabila filem beralih ke bahagian yang lebih menarik ia mengandungi segala misteri dan thriller yang menjadikan pengalaman tontonan lebih baik.
Blink Twice di pawagam bermula 22 Ogos 2024