Ulasan Takluk: Lahad Datu

Takluk: Lahad Datu merupakan filem yang mengambil inspirasi daripada Krisis Pencerobohan Lahad Datu yang berlaku pada tahun 2013. Krisis tersebut mungkin lebih diketahui melalui Operasi Daulat yang melibatkan angkatan tentera, akan tetapi filem ini mengambil inspirasi daripada kejadian sebelum Operasi Daulat, yang hanya melibatkan Polis Diraja Malaysia dan kerajaan Malaysia sedang berunding dengan penceroboh untuk mereka keluar dari kawasan tersebut secara sukarela. Filem ini diarahkan oleh Zulkarnain Azhard, beliau juga penulis bersama dengan Peter Toyat.

Filem ini memfokuskan kepada beberapa anggota VAT69 iaitu DSP Zambri lakonan Syafiq Kyle, DSP Jai lakonan Kamal Adli, DSP Maznan lakonan Anding Indrawani Zaini dan dibantu oleh Inspektor Saiful lakonan Fikry Ibrahim. Pada awalnya mereka ditugaskan untuk menemai SAC Datuk Mizan lakonan Riezman Khuzaimi untuk berunding dengan Raja Iskandar iaitu ketua penceroboh lakonan Eman Manan akan tetapi keadaan menjadi tegang apabila rundingan tidak berjaya dan penceroboh mula menculik orang-orang tempatan.

Selepas kegagalan rundingan itu, filem memfokuskan bagaimana pasukan Polis ini cuba untuk melawan penceroboh yang telah membawa kepada beberapa perlawanan senjata. Bahagian aksi untuk filem ini dilakukan dengan baik dan memuaskan bagi yang inginkan filem aksi tempatan. Namun, masalah utama bagi saya adalah sesetengah strategi ataupun arahan yang dilakukan semasa perlawanan tersebut tidak jelas. Pelakon menggunakan beberapa isyarat-isyarat khas, akan tetapi isyarat tersebut tidak diperlihatkan dengan jelas untuk membantu saya memahami mengenainya.

Selain itu, saya juga sedikit keliru dengan strategi yang dilakukan oleh skuad Polis di dalam filem ini. Contohnya, apa tujuan mereka memasuki sesuatu kawasan, apa strategi mereka untuk bertempur di kawasan tersebut dan sebagainya. Filem ini bagaikan memperlihatkan skuad Polis ini memasuki sesuatu kawasan tanpa sebarang strategi yang jelas mengakibatkan berlakunya tembak balas yang mengakibatkan kematian. Kekurangan perkara ini mengakibatkan saya menjadi kurang ‘bersimpati’ dengan anggota Polis yang terbunuh di dalam filem ini, sebaliknya lebih merasa geram dan mempersoal apa yang sedang berlaku.

Filem ini juga menyelitkan penceritaan untuk setiap-setiap anggota Polis yang terlibat dengan memperkenalkan keluarga mereka, perhubungan mereka sebagai bukan sahaja rakan seanggota tetapi juga sahabat. Ia dilakukan dengan baik dan memberi lapisan tambahan kepada penceritaan, tetapi ada masa ia dilakukan dengan sedikit janggal contohnya perhubungan Inspektor Saiful dengan emaknya, saya faham yang pengarah ingin sertakan lapisan emosi untuk ini, akan tetapi ia tidak memberi impak yang diinginkan kerana dilakukan dengan sedikit bercelaru.

Filem tidak memberi kenyataan yang jelas mengenai siapa penceroboh ini, berdasarkan temubual dengan pengarah ia mungkin satu arahan daripada pihak berkuasa akan tetapi melihat kepada kejadian yang menjadi inspirasi untuk filem ini, jelas ia adalah mengenai penceroboh yang dilakukan oleh pengikut Kesultanan Sulu yang mengelar diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara.

Oleh itu, agak mengecewakan yang tiada langsung bahagian di dalam filem ini membuatkan saya terasa yang penceroboh tersebut menggambarkan orang di kawasan tersebut, contoh mudah saya boleh katakan adalah tiada yang bercakap di dalam Bahasa Suluk ataupun Bahasa Tausug. Tidak menggunakan nama sebenar ataupun tidak menggambarkan organisasi yang sebenar di dalam filem sesuatu yang saya faham jika tidak dilakukan, akan tetapi sedikit mengecewakan jika tidak menggunakan sesuatu yang menggambarkan orang yang sebenar. Walaupun tidak menggunakan Bahasa Suluk yang mungkin akan sukar untuk difahami, saya boleh dikatakan cukup berpuas hati jika sekadar menggunakan Bahasa Melayu Sabah.

Perkara ini juga berlaku untuk pelakon-pelakon sampingan, terdapat beberapa adegan yang melibatkan orang setempat, dan melainkan ingatan saya salah, saya juga tidak mendengar sebarang percakapan yang membuatkan ia satu filem yang berlaku di Sabah. Bagi saya ia satu peluang yang terlepas untuk memperlihatkan kepada rakyat Malaysia mengenai masyarakat di Sabah, sesuatu yang jarang menjadi fokus di dalam filem-filem tempatan.

Akhir kata, Takluk: Lahad Datu membawa satu mesej yang baik mengenai pengorbanan dilakukan oleh pihak Polis menjadi barisan depan untuk negara di dalam mempertahankan kedaulatan, ia juga memberi beberapa adegan aksi tembak-menembak yang baik. Namun, beberapa bahagian yang penting di dalam filem ini seperti struktur serta strategi operasi tidak jelas, penceritaan sampingan juga kurang berkesan dan kekurangan locality untuk satu filem yang sepatutnya berlaku di Sabah agak mengecewakan.

Takluk: Lahad Datu ditayangkan bermula 22 Ogos 2024.

Takluk: Lahad Datu
Satu filem yang baik untuk memperlihatkan pengorbanan dan perjuangan barisan depan negara, akan tetapi beberapa masalah seperti penstrukturan dan penyampaian cerita serta kurangnya locality membuatkan ia sedikit mengecewakan.
Positif
Adegan aksi yang baik
Lakonan memuaskan
Negatif
Struktur penceritaan bercelaru
Kurang locality
6

Sohor Kini