Pameran Animasi Jujutsu Kaisen berlangsung secara rasminya hari ini di Fahrenheit88, pameran ini boleh dikunjungi sehingga 20 Oktober 2024. Menurut penganjur, Moments Experiential, Malaysia merupakan lokasi pertama bagi pameran ini untuk benua Asia Tenggara. Kami telah diberi kesempatan untuk mengunjungi sendiri pameran ini dan berikut adalah pengalaman kami.
Pameran Animasi Jujutsu Kaisen ini seperti judulnya memfokuskan kepada versi anime untuk Jujutsu Kaisen, oleh itu pameran ini dilakukan dengan kerjasama MAPPA iaitu studio yang bertanggungjawab menghasilkan siri anime untuknya. Antara tarikan utama untuk pameran ini adalah pengunjung dapat melihat manuskrip-manuskrip awal oleh MAPPA.
Pameran ini akan bermula dengan setiap pengunjung akan mendapat kad pelajar yang terdiri daripada enam watak Jujutsu Kaisen iaitu Yuji Itadori, Megumi Fushiguro, Nobara Kugisaki, Maki Zenin, Toge Inumaki dan Panda. Anda akan mendapat kad pelajar ini secara rawak oleh itu tidak boleh memilih watak yang anda inginkan.
Memasuki ke dalam, saya akan melalui terlebih dahulu penghasilan semula bilik yang menjadi tempat Satoru Goju menahan Yuji Itadori. Bagi yang menonton anime ataupun membaca manga, bilik ini agak penting kerana ia menjadi tempat pertama Yuji bertemu dengan Goju dan juga tempat Goju memberitahu yang hukuman mati terhadap Yuji kerana memakan jari Sukuna ditangguh dan dia sebaliknya akan memasuki sekolah Tokyo Jujutsu High.
Seterusnya, fokus utama untuk pameran ini adalah manuskrip-manuskrip daripada MAPPA diperlihatkan. Mereka memfokuskan kepada empat bab daripada siri anime untuk pameran ini iaitu “Cursed Womb Must Die”, “Small Fry and Reverse Retribution”, “Kyoto Sister School Goodwill Event”, dan “The Origin of Blind Obedience” yang kesemua berlaku semasa musim pertama bagi anime ini. Oleh itu agak dicadangkan anda menonton terlebih dahulu untuk mendapat pengalaman yang lebih baik.
Namun, jika anda sekadar berminat dengan proses bagaimana anime dihasilkan, pameran ini juga melakukan kerja yang baik untuk menyertakan bersama dengan manuskrip tersebut dengan perkongsian oleh staff yang terlibat dengan adegan tertentu seperti pengarah dengan mereka akan serba sedikit berkongsi mengapa sesuatu pilihan kreatif dilakukan ataupun mengapa adegan tersebut penting.
Pameran ini dibahagikan kepada 5 ruangan dengan setiap ruangan memfokuskan kepada bab yang berbeza dan juga watak-watak yang berlainan daripada siri anime ini. Selain manuskrip, terdapat juga video yang memperlihatkan bagaimana sesuatu adegan dihasilkan, dan juga video yang memperlihatkan beberapa adegan penting daripada siri anime ini, ia juga satu kawasan yang menarik untuk bergambar.
Bagi ruangan yang kelimat, ia lebih memfokuskan kepada memberi peluang kepada pengunjung untuk bergambar dengan pelbagai hiasan yang disediakan termasuk juga patung saiz sebenar untuk Sukuna, Yuji Itadori dan Satoru Gojo. Seterusnya adalah kawasan menarik daripada anime seperti kawasan besbol dan juga hiasan kuasa yang pengunjung boleh bergambar seperti melakukan kuasa tersebut.
Keluar daripada pameran ini, pengunjung akan melalui kawasan jualan barangan rasmi Jujutsu Kaisen, terdapat pelbagai barangan seperti beg, figura, pin dan barangan lain yang mungkin tidak boleh didapatkan di tempat lain di Malaysia. Harga untuk barangan ini boleh dikatakan sebagai harga barangan yang diimport dari luar negara. Terdapat juga photo booth di tempat yang sama untuk anda bergambar.
Tiket kemasukan untuk pameran ini ditawarkan melalui Ticket2u, Klook, dan Incutix. Harga kemasukan adalah RM55, selain itu boleh juga didapatkan dengan beberapa pakej yang menyediakan barangan tambahan seperti poster, keychain ataupun figura dengan harga RM105, RM160 dan RM290. Anda tidak perlu membeli tiket untuk mengakses tempat jualan merchandise. Selain itu terdapat juga kafe berhampiran yang anda boleh dapatkan makanan bertemakan Jujutsu Kaisen.
Jujutsu Kaisen merupakan siri mangan yang dihasilkan oleh Gege Akutami, ia diterbitkan sejak tahun 2018 dan masih sedang diterbitkan. Siri anime ia telah menerima dua musim yang tamat disiarkan pada akhir tahun lepas.