Kingdom Come: Deliverance II Ditunda Ke Februari 2025

Warhorse Studios telah mengumumkan yang Kingdom Come: Deliverance II telah tertunda dan hanya akan dilancarkan pada 11 Februari 2025 berbanding lewat tahun ini seperti yang diumumkan sebelum ini.

Mereka juga mengatakan yang walaupun pemain perlu menanti lebih lama akan tetapi terdapat lebih banyak perkongsian yang akan dilakukan termasuk juga 20 minit video tatamain akan diperlihatkan semasa Gamescom 2024 dan juga sesi pandang pertama bersama dengan media dan juga pencipta kandungan.

Kingdom Come: Deliverance II merupakan permainan susulan kepada Kingdom Come: Deliverance yang dilancarkan pada tahun 2018. Di dalam permainan kedua ini, pemain masih lagi bermain sebagai Henry iaitu watak protagonis daripada permainan pertama.

Selain itu, permainan kedua ini akan menyertakan dua kawasan baharu yang dua kali ganda lebih luas berbanding kawasan di dalam permainan pertama, ini termasuklah Trosky Castle dan juga Kuttenberg yang kini merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Selain itu, penceritaan juga dikembangkan lagi dengan menyertakan lebih 5 jam adegan (cutscene), sistem pertempuran pula dihasilkan untuk lebih memudahkan akan tetapi masih mendalam dan membawa sesi pertempuran yang realistik.

Warhorse Studios merupakan sebahagian daripada Plaion selepas mereka diambil-alih pada waktu itu oleh Koch Media pada tahun 2019. Permainan kedua ini akan diterbitkan oleh Deep Silver yang juga sebahagian daripada Plaion.

Sohor Kini