Alien merupakan satu francais yang telah berumur lebih 45 tahun dan menerima 6 filem sebelum ini, bermula dengan Alien pada tahun 1979 sehinggalah Alien: Covenant pada tahun 2017. Minggu ini, filem terbaru untuk siri ini iaitu Alien: Romulus akan ditayangkan dan Fede Alvarez menjadi pengarah kelima yang terlibat dengan francais ini dengan pengalaman yang diperlihatkan melalui dua filem beliau sebelum ini iaitu Evil Dead dan Don’t Breathe tidak salah untuk saya mengharapkan filem ini membawa satu perasaan seram dan thriller yang padat, tetapi ia sedikit mengecewakan di bahagian tersebut.
Jika anda mengenali saya, saya merupakan seorang yang tidak gemari filem-filem seram, kerana mudah terkejut akan tetapi di dalam filem Alien: Romulus ini, saya boleh katakan kebanyakan bahagian yang sepatutnya menjadi seram ataupun mengejutkan terasa kurang berkesan dan tidak benar-benar memberi perasaan takut kepada saya. Saya boleh katakan sebab utama adalah pilihan suntingan ataupun sesuatu adegan itu diperlihatkan, ada masa adegan diperlihatkan dengan ‘luas’ dan tidak memberi perasaan klaustrofobik ataupun adegan pembunuhan ataupun sesuatu yang ngeri dialihkan untuk memperlihatkan emosi pelakon berbanding kejadian tersebut, namun melihat xenomorph masih mendebarkan.
Walaupun saya memulakan ulasan ini dengan rungutan mengenai tahap seram ataupun thriller filem ini, akan tetapi ia bukanlah satu masalah yang besar. Alien: Romulus masih satu filem yang sangat baik dan saya juga masih mempunyai masa yang baik menontonnya. Perkara utama yang menguatkan filem ini adalah plot serta penceritaan yang disertakan. Filem-filem Alien yang lain sentiasa mempunyai imbangan di antara penceritaan fiksyen sains dan thriller atau seram, ada filem yang lebih kepada penceritaan dan ada filem yang lebih kepada perkara yang ngeri dan saya boleh katakan filem ini mengimbangkan-nya dengan baik, walaupun bahagian seram sedikit terjejas.
Alien: Romulus berlaku di antara filem Alien dan Aliens, akan tetapi ia lebih dekat dengan filem Alien terutama dengan penggunaan teknologi yang lebih ‘lapuk’ jika ingin dibandingkan dengan filem Aliens. Ia memfokuskan kepada 5 orang sahabat, iaitu Rain Carradine lakonan Cailee Spaeny, Tyler lakonan Archie Renaux, Kay lakonan Isabela Merced, Bjorn lakonan Spike Fearn dan Navarro lakonan Aileen Wu. Bersama dengan mereka adalah Andy, sebuah Android yang diprogramkan untuk menjaga Rain Carradine dan perhubungan mereka adalah seperti adik beradik.
Awal filem diperlihatkan yang Rain Carradine ingin meninggalkan planet yang menjadi tempat dia tinggal dan bekerja tetapi dihalang kerana terdapat kontrak yang memerlukannya untuk terus bekerja. Tyler bersama dengan Kay, Bjorn dan Navarro telah memberi cadangan kepada Rain Carradine untuk pergi ke kapal yang terdampar di luar planet tersebut, mereka mengajak Rain kerana kapal tersebut dimiliki oleh Weyland-Yutani Corporation iaitu syarikat yang mengeluarkan Andy, oleh itu Andy boleh mengakses kapal tersebut. Tyler mengatakan yang kapal tersebut mempunyai pod hypersleep chamber yang mereka boleh gunakan untuk ke planet lain.
Rain pada awalnya tidak ingin melakukannya tetapi dengan harapan dapat keluar daripada planet tersebut dia bersetuju. Namun keadaan menjadi lebih rumit apabila sesuatu yang mereka anggap sebagai kapal, merupakan satu stesen angkasa dan ia juga lebih hampir untuk berlanggar dengan cincin planet, oleh itu mereka perlu dapatkan pod tersebut secepat yang mungkin. Tanpa mereka sedari, stesen itu juga dipenuhi dengan facehugger sesuatu yang mereka tidak tahu wujud sebelum ini.
Tiga watak utama bagi filem ini adalah Rain Carradine, Tyler dan juga Andy dengan watak-watak lain masih membawa personaliti dan juga penceritaan yang tersendiri yang serba sedikit membawa seri di dalam filem ini, terutama Bjorn yang tidak menggemari android dan membuatkan perhubungan dingin dengan Andy tetapi ia tidak lebih daripada itu kerana filem ini kemudian lebih memfokuskan kepada misteri mengenai apa yang berlaku di dalam stesen angkasa tersebut dan perkara ini dilakukan melalui watak Rain, Tyler dan juga Andy.
Rain bukanlah seorang tentera seperti Ripley, oleh itu dia tidak mempunyai pengalaman bertempur yang banyak dan ini diperlihatkan dengan baik dan menjadi perkara yang membantu mengembangkan lagi wataknya. Tyler sebaliknya mempunyai lebih pengalaman di dalam bertempur dan menjadi watak utama yang melakukan aksi terutama di bahagian awal filem. Watak utama bagi saya memainkan peranan penting di dalam filem ini adalah Andy, yang bagi saya mengekalkan sesuatu yang sering di bawa oleh filem-filem Alien sebelum ini iaitu sebuah Android yang mempunyai peranan di luar jangkaan awal penonton.
Misteri mengenai apa yang terjadi di stesen angkasa tersebut adalah sesuatu yang membuatkan saya lupa mengenai kurangnya seram di dalam filem ini, walaupun kita sudah mengetahui pelbagai perkara mengenai penceritaan di sebalik Alien tetapi filem ini masih lagi menyampaikan-nya dengan baik untuk membuatkan saya tertanya apa yang berlaku. Filem ini juga mempunyai kejutan tersendiri walaupun perkara ataupun konsep yang diperlihatkan bukanlah sesuatu yang baharu. Bahagian angkasa dan juga fiksyen sains di dalam filem ini juga disampaikan dengan baik, boleh dikatakan antara terbaik di dalam siri filem Alien.
Selain itu, filem ini juga dengan baiknya menyusun plot penceritaan dengan mereka bermula dengan misi untuk mencari pod hypersleep chamber, kemudian bertambah perkara lain yang perlu dilakukan atas sebab yang tertentu. Kesemua ini dilakukan dengan satu struktur yang baik membuatkan penceritaan menjadi mudah untuk diikuti dan menjadikannya lebih menarik. Ia bagaikan satu struktur permainan video seram dengan perlu pergi ke satu tempat untuk mendapatkan barangan yang boleh digunakan di tempat yang lain sebagai contoh.
Sebagai filem ketujuh, adakah penting untuk menonton filem-filem sebelum ini? Saya boleh katakan yang tidak, bahkan Alien: Romulus boleh menjadi permulaan yang baik untuk penonton yang baru ingin mengenali francais ini. Ia bukanlah filem pertama mengikut garis masa, akan tetapi kerana ia merupakan satu filem kendiri yang baik, ia masih satu tontonan yang baik untuk semua.
Akhir kata, Alien: Romulus membawa campuran yang baik di antara penceritaan, fiksyen sains dan juga thriller, akan tetapi perasaan seram ataupun ngeri terasa sedikit kurang terutama jika ingin dibandingkan dengan hasil tangan Fede Alvarez sebelum ini. Namun, ia masih satu filem yang sangat baik dan sesuai untuk ditonton bukan sahaja peminat ataupun pengikut siri filem ini, tetapi juga bagi yang ingin menjadikan filem ini sebagai filem yang pertama.
Gambar: © 2024 20th Century Studios