Ulasan The Tyrant

The Tyrant merupakan siri Korea Selatan terbaru yang disiarkan melalui Disney+ Hotstar, ia merupakan siri pendek dengan mempunyai 4 episod sahaja musim ini dan setiap episod mempunyai durasi sekitar 40 minit sahaja. Siri ini diarahkan oleh Park Hoon-jun dengan senarai pelakon seperti Cha Seung-won, Kim Seon-ho, Kim Kang-woo dan Jo Yoon-su.

Siri ini memfokuskan kepada pergaduhan di antara Agensi Risikan Korea dan Agensi Risikan US mengenai ‘The Tyrant’ iaitu satu projek rahsia yang berkait dengan senjata biologi yang boleh mempertingkatkan keupayaan manusia. Siri ini bermula dengan projek tersebut sepatutnya ditutup dan The Tyrant perlu diserahkan kepada Amerika Syarikat tetapi keadaan menjadi huru hara selepas ia dicuri oleh orang yang tidak diketahui.

Kekuatan utama bagi saya mengenai siri ini adalah mereka menyedari yang siri ini mempunyai 4 episod sahaja dan setiap episod boleh dikatakan pendek, oleh itu siri ini mengisi setiap minit dengan baiknya. Saya boleh katakan yang siri ini tidak mempunyai sebarang adegan membosankan. Ada sahaja perkara baharu yang dinyatakan, ataupun adegan-adegan aksi, walaupun sekadar dialog masih menarik untuk didengari kerana mempunyai informasi yang penting.

Ini ditambah lagi dengan siri ini bermula secara terus semasa keadaan yang genting, mereka tidak melakukan pengenalan, mereka tidak menjelaskan apa yang sedang berlaku sebaliknya terus memperlihatkan masalah demi masalah, dan melalui episod-episod yang lanjut barulah mereka mula sedikit demi sedikit memberi penjelasan mengenai apa yang sedang berlaku. Bagi saya, cara yang digunakan ini membantu untuk mengekalkan bahagian misteri tetapi pada masa yang sama masih memudahkan saya untuk mengikutinya.

Saya juga menyukai pilihan pengarah untuk tidak memperlihatkan secara terus sesuatu perkara sebaliknya menyampaikan-nya terlebih dahulu secara dialog, sebelum memperlihatkan kemudian untuk memberi lebih kesan emosi semasa adegan tersebut.

Contohnya ada satu watak yang ingin membalas dendam, pada awal penceritaan sebab mengapa watak tersebut ingin membalas dendam disampaikan secara dialog sahaja, akan tetapi semasa watak tersebut semakin hampir untuk membalas dendam barulah diperlihatkan apa yang berlaku yang bagi saya memberi kesan emosi yang lebih lagi semasa adegan membalas dendam tersebut berbanding diperlihatkan lebih awal lagi.

Perkara tersebut juga membuatkan setiap dialog adalah penting, jika terlepas satu dialog anda mungkin keliru dengan apa yang berlaku seterusnya. Kesemua ini menjadikan 40 minit bagi setiap episod adalah menarik dan meminta perhatian penuh daripada saya.

Seterusnya, saya juga ingin menyentuh mengenai adegan-adegan aksi di dalam siri ini yang dilakukan dengan sangat baik. Saya boleh katakan yang adegan aksi di dalamnya menghampiri apa yang saya lihat di dalam siri filem John Wick. Setiap adegan aksi dilakukan dengan pantas, kreatif dan menggunakan pelbagai cara yang berbeza. Keadaan menjadi lebih lagi di bahagian-bahagian akhir siri ini, yang saya boleh katakan diisi sepenuhnya dengan adegan aksi sahaja.

Terdapat dua watak utama yang akan menjadi penggerak utama untuk bahagian aksi di dalam siri ini, dan kedua-dua mereka memberikan prestasi yang penuh bergaya dan menghidupkan bukan sahaja watak mereka tetapi juga adegan aksi. Saya tidak akan menyatakan siapa watak ini, kerana semasa saya mula tonton siri ini, saya tidak tahu siapa watak utama dan merasakan yang ia adalah cara terbaik untuk menonton siri ini.

Manakala bagi penceritaan pula saya boleh katakan yang ia tidaklah membawa satu penceritaan yang unik, tetapi perkara ini bukan masalah yang besar kerana ia masih lagi disampaikan dengan menarik. Saya juga menyukai dengan mereka tidak sangat memilih untuk menjadikan satu pihak baik ataupun satu pihak jahat, dengan kedua-dua pihak mempunyai kepentingan sendiri, setiap watak ada motif mereka sendiri. Ini menjadikan siri ini bukan dengan jelas mengenai “baik lawan jahat” yang bagi saya membantu untuk menjadikannya lebih menarik.

Akhir kata, The Tyrant merupakan satu siri yang mengejutkan bagi saya, ia disampaikan dengan penuh klimaks, setiap minit daripada setiap episod mempunyai sesuatu yang penting untuk disampaikan, adegan aksi dilakukan dengan sangat baik, penuh dengan darah dan pembunuhan yang kreatif. Penceritaan tidaklah unik tetapi dengan penyampaian yang menarik menjadikan ia terasa segar dan satu tontonan yang berkualiti.

The Tyrant sudah boleh ditonton di Disney+ Hotstar.

The Tyrant
The Tyrant disampaikan dengan penuh klimaks, setiap minit daripada setiap episod mempunyai sesuatu yang penting untuk disampaikan, adegan aksi dilakukan dengan sangat baik, penuh dengan darah dan pembunuhan yang kreatif. Penceritaan tidaklah unik tetapi masih menarik kerana penyampaiannya.
Positif
Padat dengan pengisian menarik
Adegan aksi yang mengujakan
Lakonan berkualiti
Negatif
Penceritaan bukan sesuatu yang baharu
9

Sohor Kini