Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) telah melancarkan Dana Esukan KBS 2024 (Edisi Kedua) dan menyediakan dana sebanyak RM1 juta iaitu lebih tinggi berbanding Edisi Pertama yang ditawarkan pada November tahun lepas dengan dana RM250 ribu. Dana ini ditawarkan bagi untuk menggalakkan lebih banyak program dan inisiatif esukan dianjurkan di negara ini.
Dana berjumlah RM1 juta ini dikhususkan untuk mana-mana organisasi yang berdaftar di bawah SSM, PJS, ROY, atau ROS dan juga untuk IPTA/IPTS dengan penyedian peruntukan seperti berikut:
Kategori | Jumlah Peruntukan | Had Pembiayaan Maksima |
Umum | RM 700,000 | RM 30,000 setiap permohonan |
IPTA/IPTS | RM 300,000 | RM 15,000 setiap permohonan |
Berdasarkan peruntukan dan juga had pembiayaan, dana ini boleh dikatakan tersedia untuk 23 organisasi dan 20 IPTA/IPTS dengan jumlah keseluruhan 43 penerima iaitu satu jumlah yang lebih tinggi berbanding fasa pertama yang disalurkan kepada 14 penerima sahaja.
Dana ini meliputi pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan bakat, penganjuran acara dan pertandingan esukan, inisiatif sains dan penyelidikan esukan, serta program esukan komuniti. Pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara esukan dipelawa untuk memohon dana ini.
Permohonan Dana Esukan KBS 2024 boleh dilakukan melalui pautan berikut https://esportsintegrated.com/2024/07/24/dana-esukan-kementerian-belia-sukan-2024/ sebelum tarikh tutup permohonan iaitu pada 27 Ogos 2024.
Bagi organisasi dan juga IPTA/IPTS yang terpilih untuk menerima dana ini mesti menganjurkan acara atau program mereka sebelum 30 November 2024.