Epic Games hari ini telah mengumumkan komitmen mereka untuk menawarkan permainan-permainan mereka di dalam pelbagai gedung aplikasi di telefon pintar dan mereka akan menghentikan sebarang perjanjian eksklusif dengan mana-mana gedung.
Namun, berbeza pula untuk gedung aplikasi Samsung iaitu Galaxy Store yang sebelum ini menawarkan permainan Epic Games seperti Fortnite. Epic Games telah mengumumkan mereka tidak lagi menawarkan Fortnite di gedung tersebut sebagai bantahan Samsung menghalang pemasangan APK ataupun sideloading.
Melalui kemaskini sistem operasi OneUI 6.1.1, Samsung telah memperkenalkan fungsi Auto Blocker yang terpasang secara lalai. Fungsi ini yang dikatakan untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin akan menghalang sebarang pemasangan APK secara sisi.
Walaupun fungsi ini boleh ditutup oleh pengguna, tetapi Epic Games tampaknya merasakan ia adalah satu fungsi yang tidak baik terutama Epic Games menyatakan yang Google telah meminta Samsung untuk menyekat penawaran gedung alternatif di telefon mereka.
Fortnite telah menjadi punca untuk peperangan di antara Epic Games, Apple dan Google. Kes makhamah di antara Epic Games dan Apple telah selesai dengan berpihak kepada Apple dan Fortnite tidak lagi ditawarkan melalui App Store.
Apple sebaliknya terkesan dengan Kesatuan Eropah yang mengarah Apple untuk membenarkan fungsi sideloading di iPhone, yang membolehkan Fortnite untuk dimuat turun melalui Epic Games Store ataupun AltStore, namun perkara ini hanya terkesan bagi pengguna di Eropah sahaja.
Manakala pembicaraan di antara Epic Games dan Google juga telah menerima keputusan yang memihak kepada Epic Games, tetapi ia masih menantikan rayuan daripada Google. Di Android, Fortnite sudah ditawarkan melalui gedung-gedung alternatif seperti Epic Games Store dan sebelum ini Samsung Galaxy Store.