SAG-AFTRA iaitu kesatuan yang mewakili pelakon-pelakon di Amerika Syarikat termasuk juga pelakon suara telah mengumumkan yang mogok akan berlaku untuk kandungan-kandungan interaktif termasuk juga permainan video.
Mogok ini diumumkan akan bermula esok dengan permainan-permainan video yang ingin melantik pelakon semasa mogok ini perlu bersetuju dengan perjanjian sementara, dengan perjanjian sementara ini memberi pelindungan kepada pelakon ke atas penggunaan AI.
Pelakon-pelakon di bawah SAG-AFTRA selepas ini tidak lagi boleh terlibat dengan mana-mana permainan video, termasuk juga melakukan promosi serta merakamkan suara untuk projek baharu dan juga kandungan baharu bagi permainan sedia ada. Anda boleh baca senarai penuh aktiviti yang tidak boleh dilakukan semasa mogok di pautan ini.
Pada tahun lepas, SAG-AFTRA telah mengumumkan yang mogok terhadap permainan video mungkin berlaku akan tetapi mereka masih di meja rundingan bersama dengan Activision, Blindlight, Disney Character Voices, EA, Formosa Interactive, Insomniac Games, Epic Games, Take Two Productions, VoiceWorks dan WB Games.
Walaupun mereka berjaya mencapai kata sepakat untuk pelbagai isu, akan tetapi pihak permainan video tidak bersetuju untuk dengan jelas member pelindungan terhadap AI, yang membuatkan mogok ini akan berlaku.
Pihak yang mewakili permainan video mengatakan mereka kecewa kerana SAG-AFTRA memilih untuk keluar daripada perbincangan dan melakukan mogok sedangkan mereka sudah bersetuju 24 daripada 25 isu yang dibangkitkan termasuk juga peningkatan bayaran kepada pelakon. Bagi AI pula, mereka mengatakan sudah memberi pelindungan yang mencukupi termasuk juga pelakon perlu memberi kebenaran dan perlu dibayar jika kerja mereka digunakan di dalam AI.