EA telah mengumumkan yang EA Sports FC 25 akan dilancarkan pada 27 September ini untuk PlayStation, Xbox, dan PC melalui EA App, Epic Games Store dan juga Steam. Mereka juga berkongsi treler pengumuman yang anda boleh tonton di bawah.
Antara pembaharuan yang diumumkan adalah pengenalan teknologi FC IQ yang menurut EA akan mengubah bagaimana taktik akan dilakukan di dalam permainan dengan menggunakan AI berdasarkan sesi permainan sebenar. Taktik ini juga akan lebih mengikut Player Roles iaitu satu lagi perkara yang diperkenalkan pada tahun ini.
Bagi Football Ultimate Team (FUT), ia akan menerima satu mod baharu iaitu 5v5 Rush yang boleh dimainkan bersama dengan rakan. Selain itu, beberapa barangan baharu untuk digunakan terhadap pemain juga disertakan iaitu barangan Manager yang boleh mengubah gaya permainan dan juga Player Items berdasarkan Player Roles.

Mod Career juga menerima pembaharuan dengan pemain kini boleh memilih untuk memulakan sesuatu karier sama ada sebagai pemain ataupun pengurus di permulaan yang sama dengan dunia sebenar. Selain itu, pemain juga boleh menggunakan ICONS seperti Zidane untuk menyertakannya di dalam skuad semasa. Pemain juga kini boleh bermain karier mengurus atau bermain sebagai pemain di 5 liga terbaik wanita.
Sesi tempahan sudah dibuka, dan seperti biasa anda akan mendapat ganjaran tambahan jika melakukannya sebelum 20 Ogos 2024.