Saya ingin mulakan ulasan filem ini dengan terlebih dahulu bercakap mengenai genre filem bencana ataupun disaster film, ia merupakan satu genre sebahagian besar daripada genre filem aksi. Sebab mengapa saya bercakap mengenai genre ini adalah Twisters jika dilihatkan mungkin kita boleh menganggap sebagai filem di dalam genre filem bencana, akan tetapi selesai menontonnya saya boleh katakan yang ia lebih kepada filem aksi berbanding filem bencana. Jika anda pernah melihat filem yang boleh dikatakan sebagai filem asal iaitu Twister yang diterbitkan pada tahun 1996, ia juga lebih kepada filem aksi berbanding filem yang memfokuskan kepada bencana.
Saya tidak mengatakan perkara ini sebagai perkara yang tidak baik, kerana Twisters sebagai satu filem aksi merupakan satu filem yang sangat baik dan saya juga boleh katakan filem yang cukup lengkap untuk menjadi satu filem yang seronok ditonton. Namun, jika anda berharap kepada satu filem yang memfokuskan kepada kesan puting beliung terhadap orang ramai, filem ini adalah menyentuhnya tetapi sekadar di bahagian belakang sahaja dengan penceritaan watak Kate Cooper lakonan Daisy Edgar-Jones mengambil pentas utama dan saya langsung tidak mempunyai sebarang masalah berkenaannya kerana watak ini dilakukan dengan baik dan menarik.

Filem ini bermula dengan Kate Cooper bersama dengan lima rakannya ingin menguji sama ada mereka dapat mengawal pembentukan puting beliung, namun keadaan bertukar menjadi bencana apabila percubaan mereka bukan sahaja gagal tetapi pada masa yang sama puting beliung yang menjadi bahan ujian tersebut lebih besar daripada dijangkakan. Perkara ini telah mengakibatkan tiga daripada mereka terkorban dan Kate Cooper bersama dengan Javi lakonan Anthony Ramos sahaja yang terselamat. Terkesan dengan perkara tersebut, Kate Cooper menghentikan hajatnya untuk cuba mengawal puting beliung sebaliknya mengambil pekerjaan sebagai ahli meteorologi di New York iaitu bandar yang dikatakan jarang mempunyai masalah puting beliung.
Kate Cooper hidup secara bersendirian, bahkan jarang berhubung dengan kampung halamannya kerana masih trauma dengan kejadian tersebut. Sehinggalah Javi yang membuka satu syarikat untuk mengkaji puting beliung menghubungi Kate Cooper bagi mendapatkan kepakarannya dapat mengesan puting beliung yang akan berlaku. Pada awalnya dia tidak ingin terlibat, tetapi dengan harapan dapat mengurangkan kesan bencana puting beliung, dia bersetuju dan memulakan semua mencari dan mengejar puting beliung. Dia kemudian bertemu dengan Tyler Owens lakonan Glen Powell yang menjadikan mengejar puting beliung ini sebagai satu hiburan dan juga kandungan untuk saluran YouTube dan mempunyai ramai pengikut.

Filem kemudian memfokuskan Kate Cooper bersama Javi mengejar puting beliung begitu juga dengan Tyler Owens dan ada masanya mereka bersaing untuk menjadi yang lebih tepat di dalam menjangkakan di mana puting beliung membentuk. Namun, selepas melihat lebih banyak kawasan dan orang terbunuh, Kate Cooper mula memasang hajat untuk kembali mencuba mengawal puting beliung ini, tetapi dia terpaksa menghadapi perkara yang tidak dijangkakan dan pada masa yang sama perlu menghadapi traumanya yang sebelum ini menjadi penghalang untuk dia terus mencuba.
Penggerak utama filem ini ialah Kate Cooper dan seperti saya nyatakan dilakukan dengan baik, saya dapat melihat perkembangan wataknya terutama melalui perhubungannya dengan Javi dan juga Tyler Owens. Watak Kate Cooper berjaya ditulis untuk menjadi ‘hero’ di dalam filem ini di dalam melawan penjahat di dalam bentuk ‘trauma’ dan juga puting beliung itu sendiri. Tambahan pada itu, watak Tyler Owens dan Javi juga memberikan dinamik yang lebih baik kepada Kate Cooper kerana boleh dikatakan mereka bertiga mempunyai perhubungan yang berlainan di antara satu sama lain.

Saya juga menyukai kerana filem ini berjaya untuk memasukkan pelbagai jargon mengenai puting beliung ini tanpa membuatkan saya keliru. Saya tidak pasti jika istilah-istilah yang digunakan adalah tepat ataupun tidak, namun ini bukanlah CinemaSins, untuk saya terlalu memfokuskannya yang penting mereka menggunakan pelbagai istilah untuk memberikan gambaran yang betapa bahayanya sesuatu puting beliung tersebut dan juga di dalam menjadikan cara Kate Cooper ingin mengawal puting beliung tersebut kedengaran seperti masuk akal.
Sebagai satu filem yang mempunyai elemen bencana dan juga memfokuskan mengenai puting beliung, saya boleh katakan yang filem ini berjaya untuk memperlihatkan perkara tersebut dengan baik sekali. Segala perasaan seram ataupun bahayanya sesuatu puting beliung berjaya dilakukan, kemusnahan yang diakibatkan olehnya juga diperlihatkan dengan baik. Namun, oleh kerana ini adalah filem aksi dan bukan satu filem bencana, kekerapan terjadinya puting beliung ini adalah tinggi dan ada masa ia terasa sedikit artificial, namun saya boleh menerimanya kerana sekali lagi saya katakan yang ini adalah filem aksi dan bukan filem bencana.

Akhir kata, Twisters merupakan satu filem yang menarik sebagai satu filem aksi dengan Kate Cooper lakonan Daisy Edgar-Jones dilakukan dengan baik untuk menjadi ‘hero’ di dalam filem ini di dalam melawan traumanya dan juga puting beliung itu sendiri. Filem ini menyampaikan bahagian-bahagian cemas dengan baik, dan pada masa memberikan dinamik perhubungan yang baik di antara kesemua watak yang ada di dalam filem ini memberikan satu filem yang mempunyai cemas, jenaka, drama dan jiwa. Nota tambahan, saya tidak membandingkan filem ini dengan filem asalnya kerana bagi saya ia cukup untuk berdiri sebagai filem kendiri.
Penafian: Tayangan untuk Twisters disediakan oleh Warner Bros Malaysia