Seperti kita sedia maklum, Piala Dunia Esukan yang sedang berlangsung di Arab Saudi sehingga 25 Ogos 2024 mempertandingkan 21 judul permainan dengan jumlah hadiah terkumpul mencecah $60 juta.
Setakat ini, lima kejohanan untuk lima judul permainan telah selesai iaitu Call of Duty: Warzone, Dota 2 (masih berlangsung), League of Legends, Free Fire dan juga Mobile Legends: Bang Bang yang dimenangi oleh pasukan dari Malaysia iaitu Selangor Red Giants.
Daripada lima kejohanan ini, menurut Esports Charts, Mobile Legends: Bang Bang merupakan permainan paling popular dengan menerima 2.38 juta tontonan serentak tertinggi yang dicatat ketika perlawanan di antara Selangor Red Giants dan Falcon.AP Bren.

Senarai ini diikuti oleh League of Legends di tempat kedua yang melibatkan pemain terbaik di dunia iaitu Faker dengan 1.1 juta tontonan. Permainan lain FreeFire mencatat 471 ribu, Dota 2 dengan 345 ribu setakat ini dan Call of Duty: Warzone dengan 135 ribu penonton.
Enam belas permainan lagi yang akan dipertandingkan adalah seperti Counter Strike 2, PUBG Mobile yang melibatkan pasukan Malaysia iaitu Yoodo Alliance, dan Honor of Kings yang melibatkan 3 pasukan Malaysia iaitu LGD Gaming MY, Team Secret dan Weibo Gaming Malaysia.
Anda boleh lihat senarai penuh di pautan ini.
Gambar: Piala Dunia Esukan