Microsoft minggu ini telah mengumumkan pelan baharu untuk penawaran Xbox Game Pass mereka, termasuk juga tidak lagi menawarkan permainan baharu untuk pelan tertentu. Selain itu, mereka juga mengumumkan kenaikan harga untuk kesemua pelan yang ada, termasuk juga satu-satunya pelan yang ditawarkan di Malaysia iaitu PC Game Pass yang meningkat harga dari RM15 ke RM20. Walaupun ia merupakan satu peningkatan yang kecil, kita boleh jangkakan yang ini bukanlah peningkatan terakhir yang akan berlaku kerana suka atau tidak, harga langganan apa sahaja perkhidmatan yang terus meningkat.

Perkara ini juga tidak terhad kepada industri permainan video sahaja, pada tahun ini contohnya, selain Game Pass, Disney+ Hotstar juga telah mengumumkan peningkatan harga berbanding RM18.30 sebulan kepada RM39.90 jika kita mengambil kira pelan Premium. Jika kita melihat sedikit ke belakang, pada tahun lepas, SIE juga mengumumkan peningkatan harga untuk penawaran PlayStation Plus mereka contohnya bagi pelan Deluxe meningkat dari RM309 ke RM460 setahun. Tahun lepas juga, Apple meningkatkan harga langgan Apple One mereka dengan kenaikan harga sekitar RM6 sebulan.
Ada yang mengatakan Microsoft meningkatkan harga langgan Game Pass kerana permainan-permainan Activision akan menyertai perkhidmatan tersebut selepas selesai pengambil-alihan, tetapi secara jujurnya saya merasakan yang harga akan meningkat dengan ataupun tanpa Activision. Menyertakan permainan seperti Call of Duty: Black Ops 6 hanya mempercepatkan lagi keputusan untuk meningkatkan harga langganan. Ini adalah kerana, pada pengakhiran harinya, perkhidmatan-perkhidmatan ini wujud untuk menjana keuntungan.
Harga yang perlu dibayar oleh Microsoft untuk menyertakan sesuatu permainan akan terus meningkat, manakala bagi permainan-permainan yang dibangunkan oleh mereka juga meningkat kos pembangunan, ditambah lagi dengan menyertakan permainan tersebut di dalam Game Pass akan memberi kesan kepada jualan permainan dengan harga penuh. Tidak salah untuk saya mengatakan yang strategi Microsoft bagi Game Pass ini adalah memberikan alternatif kepada pemain yang ingin bermain sesuatu permainan, tetapi pada masa yang sama menjadikan pembelian secara penuh masih pilihan yang terbaik.
Kita boleh merungut, atau mengambil keputusan untuk membatalkan langganan ini, tetapi akhirnya jika sesuatu penyedia itu ingin perkhidmatan mereka membawa keuntungan, meningkatkan harga adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Bahkan, jika melihat daripada satu topi yang berlainan, saya boleh katakan yang Microsoft meningkatkan harga perkhidmatan ini, atau SIE meningkatkan harga PS Plus, begitu juga dengan Disney serta Apple menandakan yang mereka ingin perkhidmatan ini dapat terus ditawarkan buat satu jangka masa yang lama. Jika Microsoft contohnya, mengambil keputusan untuk terus mengekalkan harga walaupun tiada penambahan yang ketara di dalam jumlah pelanggan, Game Pass akan lebih cepat berkubur.

Sebagai pengguna tidak banyak perkara yang kita boleh lakukan, kerana seperti apa sahaja perkara di dalam ekonomi, inflasi akan terus berlaku, harga akan terus meningkat, dan melainkan kita mempunyai pendapatan yang tanpa had, kita harus mula sedar yang langganan-langganan ini sebenarnya tidak perlu dilanggan untuk setiap bulan. Bagi perkhidmatan PS Plus, mungkin anda perlu melanggannya setiap bulan kerana ia diperlukan untuk bermain permainan secara dalam talian, tetapi anda masih boleh memilih pelan yang paling murah.
Bagi PC Game Pass pula, ia tidak perlu dilanggan setiap bulan, bahkan tiada kelebihan jika anda melanggan setiap bulan kerana semasa penulisan ini tiada tawaran untuk langganan buat tempoh yang lama. Formula yang saya gunakan, saya akan melanggan jika ada permainan yang menarik tiba pada bulan tersebut, contohnya semasa diumumkan yang Octopath Traveler II menyertai PC Game Pass pada bulan Jun lepas, saya melanggannya dan bermain-nya sehingga tamat dan tidak lagi melanggan untuk bulan seterusnya.
Jika anda ingin memiliki permainan secara penuh, perkhidmatan PC Game Pass masih boleh digunakan untuk bermain dengan lebih awal tanpa membayar harga yang penuh kemudian menantikan harga permainan tersebut lebih rendah, ataupun dapat membeli di pasaran permainan terpakai. Dengan cara ini, walaupun harga langganan terus meningkat, ia tidak akan menjadi satu bebanan kerana ia boleh dianggap sebagai satu perkara yang once-off sahaja. Saya menggunakan contoh PC Game Pass, tetapi perkara yang sama terpakai untuk perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti Disney+ Hotstar yang sudah boleh dilanggan secara bulanan, Netflix atau mana-mana perkhidmatan yang lain.
Mengakhiri artikel ini, saya boleh rumuskan yang harga langganan untuk apa sahaja perkhidmatan akan terus meningkat, dari semasa ke semasa dan tidak banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk menghentikannya. Perkhidmatan yang tidak melakukan perubahan mungkin akan dipuji oleh pengguna tetapi persoalannya sampai bila perkhidmatan tersebut akan ditawarkan. Bagi pengguna, saya merasakan yang peningkatan harga ini akan terkesan jika dan hanya jika kita melanggannya setiap bulan walaupun kita hanya menggunakannya untuk sekali dua sahaja di dalam bulan tersebut. Adalah lebih baik kita menjadikan langganan ini apabila mengikut sekadar perlu sahaja. Ini juga akan memberi desakan kepada penyedia perkhidmatan untuk memastikan terdapat perkara yang menarik setiap bulan.