Ulasan Project Silence

Project Silence merupakan filem berbahasa Korea arahan Tae-gon Kim dengan senarai pelakon seperti Lee Sun-kyun, Ju Ji-hoon, Kim Hee-won, dan Kim Su-an. Ia merupakan satu filem cemas ataupun thriller tetapi turut menjadikan penceritaan manusia sebagai fokus dan saya boleh katakan keseimbangan yang dilakukan di antara dua perkara tersebut tidak dilakukan dengan baik mengakibatkan penceritaan kurang menarik berbanding premis yang dibawa.

Filem ini bermula dengan memfokuskan kepada watak Cha Jeon won lakonan Lee Sun-kyun yang merupakan kepada penasihat keselamatan untuk Blue House, iaitu pejabat Presiden Korea Selatan. Dia digambarkan seorang yang mementingkan keterampilan politik berbanding membantu orang di dalam kesusahan. Semasa di dalam perjalanan untuk menghantar anak perempuannya ke lapangan terbang, dia terkesan dengan kemalangan yang berlaku di atas jambatan melibatkan puluhan kereta kerana keadaan yang berkabus.

Keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila van yang membawa beberapa ekor anjing terlibat dengan kemalangan tersebut dan anjing-anjing ini terlepas. Kemudian didapati yang anjing-anjing tersebut terlibat dengan satu uji kaji yang digelar sebagai Project Silence. Tujuan utama projek ini adalah menghasilkan anjing yang ganas untuk digunakan oleh tentera tetapi pada masa yang sama boleh dikawal menggunakan teknologi. Semasa kemalangan tersebut, anjing-anjing ini telah melarikan diri dan tidak dapat dikawal.

Oleh itu, penceritaan kemudian memfokuskan bagaimana Cha Jeon won, anaknya dan juga bersama dengan beberapa lagi orang lain perlu mencari cara untuk menyelamatkan diri bukan sahaja membebaskan diri daripada kawasan tersebut tetapi juga mengelak daripada serangan anjing-anjing yang masih berkeliaran. Pada masa yang sama, Cha Jeon won juga mula menghubungi dengan Presiden Korea Selatan yang khuatir kemalangan tersebut boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang presiden.

Seperti yang saya katakan di atas, apabila melihat kepada premis penceritaan ini saya berharap yang filem ini memfokuskan kepada keadaan cemas yang berlaku kerana kemalangan dan juga mengenai anjing-anjing tersebut, pada masa yang sama setiap watak-watak yang menjadi fokus di dalam filem ini juga diberikan kisah mengenai kehidupan mereka dan diberi ruang untuk saya lebih mengenali mereka. Bagi saya ini merupakan perkara yang baik, kerana terdapat banyak filem thriller yang kosong tanpa sebarang penceritaan. Namun, filem ini tidak memberi keseimbangan yang baik di dalam memberi keadaan yang cemas dan juga menyampaikan penceritaan bagi setiap watak ini.

Saya menyukai kerana dapat melihat variasi watak yang ada, dengan setiap daripada mereka membawa personaliti tersendiri tetapi perkara ini juga membuatkan kurangnya adegan-adegan yang cemas berlaku mengakibatkan ia menjadi sedikit membosankan, tambah mengecewakan lagi, anjing-anjing yang merupakan judul untuk filem ini, tidak sangat terlibat. Mereka “mengganas” untuk beberapa adegan sahaja dan tidak benar-benar memberi perasaan yang menakutkan. Ia mungkin satu pilihan oleh pengarah untuk lebih memfokuskan kepada manusia dan juga politik di sebaliknya, akan tetapi bagi saya sebagai penonton ia sedikit mengecewakan.

Akhir kata, Project Silence membawa premis yang baik mengenai kecemasan yang berlaku selepas kemalangan berlaku di atas jambatan yang mengakibatkan jalan tertutup, keadaan menjadi teruk apabila beberapa ekor anjing ganas terlepas. Namun, filem ini gagal untuk menggunakan premis tersebut bagi menjadikan satu filem yang ganas atau seram, sebalinya filem ini lebih memberi fokus kepada kemanusiaan dan juga politik di sebalik premis ini yang mungkin menarik untuk sesetengah penonton tetapi tidak untuk saya.

Project Silence
Project Silence mempunyai premis yang baik tetapi tidak berjaya digunakan untuk menjadikan satu filem yang ganas atau seram, akan tetapi filem ini lebih menyampaikan penceritaan yang memfokuskan kepada watak dan juga politik di sebalik premis tersebut.
Positif
Premis yang menarik
Lakonan yang baik
Negatif
Gagal memberikan filem yang cemas atau seram
Terlalu memfokuskan politik
7

Sohor Kini