Ulasan Gold

Gold merupakan filem seterusnya memfokuskan kepada sukan oleh Astro Shaw selepas menerbitkan filem Ola Bola pada tahun 2016 dan Gemencheh Boys pada tahun lepas, walaupun mempunyai beberapa adegan yang menyentuh hati akan tetapi Gold terasa satu filem yang sedikit bercelaru dengan penyampaian yang mengelirukan dan tidak konsisten, namun masih membawa satu filem yang bersemangat untuk membawa sokongan kepada atlit-atlit tempatan terutama bagi atlit paralimpik yang membawa nama negara di Paris, Perancis akhir bulan depan.

Filem ini memfokuskan kepada Cheah Liek Hou lakonan Jack Tan iaitu pemain badminton yang sejak kecil lagi bercita-cita untuk memenangi pingat emas pertama bagi Malaysia di Sukan Olimpik dan telah berusaha untuk menjadi atlit negara akan tetapi selepas mengalami penyakit Erb’s palsy, cita-cita hampir terkubur. Namun, selepas acara Paralimpik iaitu Olimpik untuk sukan-para menyertakan acara Badminton pada temasya Tokyo 2020, dia kembali berusaha untuk membawa pingat emas.

Rashid Sidek iaitu bekas pemain badminton kebangsaan turut menjadi fokus di dalam filem ini dengan wataknya di bawa oleh Farid Kamil. Usaha Rashid Sidek untuk memenangi pingat emas di Olimpik menjadi pendorong utama buat Cheah Liek Hou bahkan ia menjadi adegan pertama di dalam filem ini. Rashid Sidek kemudian juga menjadi jurulatihnya bagi projek untuk memenangi paralimpik tersebut meneruskan usahanya untuk memenangi pingat emas di Olimpik walaupun sebagai jurulatih sahaja.

Bagi saya filem ini mempunyai beberapa adegan yang menarik serta dilakukan dengan baik akan tetapi ia sangat mengecewakan di dalam penyampaian yang bagi saya sedikit tidak teratur, terdapat beberapa adegan yang apabila dicantumkan bersama tidak terasa kemas dan mengganggu pengalaman tontonan secara keseluruhannya.

Adrian Teh sebagai pengarah juga memilih untuk menyampaikan filem ini dengan lebih kasual terutama dengan menyertakan elemen ‘fourth wall break‘ seperti Cheah Liek Hou bercakap dengan penonton. Ia bukan masalah, tetapi kerana ia dilakukan dengan kurang kerap dan bukan menjadi fokus utama di dalam penyampaian filem ini, perkara tersebut menjadi sedikit janggal dan kurang bersesuaian dengan aliran penceritaan.

Filem ini juga cuba untuk menyampaikan beberapa mesej yang baik seperti untuk terus berusaha, mengenai atlit sukan paralimpik yang kurang mendapat perhatian ataupun mengenai atlit baharu yang kurang mempunyai semangat juang yang bagi saya merupakan mesej yang baik untuk di bawa akan tetapi penyampaian kurang menjadi yang membuatkan saya tidak terlalu merasai mesej yang cuba disampaikan.

Bahagian terbaik di dalam filem ini saya merasakan adalah perhubungan Cheah Liek Hou dengan keluarganya, seperti bapanya yang benar-benar menyokong usahanya untuk menjadi seorang pemain badminton dan juga ibunya yang walaupun inginkan dia memfokuskan kepada pelajaran masih memberi sokongan dengan cara yang tersendiri.

Sebagai satu filem sukan, adegan-adegan bermain badminton diperlihatkan dengan baik, mereka juga melakukan lakonan balik untuk perlawanan-perlawanan sebenar terutama melibatkan Cheah Liek Hou dan juga Rashid Sidek seperti semasa Malaysia memenangi Piala Thomas pada tahun 1992. Cuma apabila adegan tersebut dilakukan oleh pelakon contohnya Farid Kamil, pergerakan ataupun sesi permainan badminton tersebut tidaklah tampak realistik tetapi bukan masalah yang besar untuk saya.

Akhir kata, Gold merupakan satu filem yang baik di dalam memperlihatkan usaha Cheah Liek Hou untuk menyumbangkan pingat emas buat negara walaupun mengalami Erb’s palsy. Namun, filem ini sedikit mengecewakan di dalam penyampaian dan juga struktur plot yang serba sedikit mengganggu pengalaman tontonan walaupun pelbagai mesej baik yang cuba disampaikan.

Gold mula ditayangkan pada 11 Julai 2024.

Gold
Gold merupakan satu filem yang baik di dalam memperlihatkan usaha Cheah Liek Hou untuk menyumbangkan pingat emas buat negara walaupun mengalami Erb's palsy. Namun, filem ini sedikit mengecewakan di dalam penyampaian dan juga struktur plot yang serba sedikit mengganggu pengalaman tontonan walaupun pelbagai mesej baik yang cuba disampaikan.
Positif
Pelbagai mesej yang baik
Lakonan baik adegan kejohanan badminton
Negatif
Struktur plot yang kurang berkesan
Penyampaian yang mengelirukan
6

Sohor Kini