Astro Awani melaporkan yang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah meminta Kementerian Belia dan Sukan untuk berkongsi perkembangan terbaru mengenai esukan dan juga pembinaan stadium khas kepada kabinet.
“Ia termasuk saranan sebuah stadium khusus dapat disediakan pihak Kerajaan sebagai tanda galakan. Namun kita tahu bahawa kekangan kewangan sekarang ini akan menjadi hambatan kepada pembinaannya. Namun saya fikir kita mesti memulakan sesuatu daripada sekarang untuk memberi galakan yang baik kepada mereka,” katanya.
Beliau mengatakan perkara tersebut ketika acara flag-off untuk pasukan-pasukan Mobile Legends yang akan mewakili Malaysia ke Piala Dunia Esukan di Arab Saudi iaitu Selangor Red Giants selaku juara MPL Malaysia Musim 13, HomeBois selaku naib juara dan pasukan wanita iaitu Gaimin Gladiators x Homegirls.

Tambahan pada itu, beliau juga mengatakan yang esukan dapat menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa kerana ia mempunyai ikutan yang ramai dengan menjadikan kejohanan MPL yang menerima kira-kira 20 juta penonton sebagai contoh.
Cadangan untuk membina stadium khusus esukan bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya ia sesuatu yang sudah dicadangkan sejak beberapa tahun yang lepas, pada tahun 2018, Syed Saddiq yang pada waktu itu merupakan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadikannya pembinaan fasiliti ini sebagai manifesto Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Manakala semasa pengumuman Bajet 2023, Menteri Kewangan pada waktu itu iaitu Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, telah mengumumkan yang mereka akan melakukan transformasi terhadap Urban Transformation Centre (UTC) untuk dijadikan sebagai hab digital termasuk juga aktiviti esukan.
Sumber Gambar: Mobile Legends