Square Enix ketika Nintendo Direct telah mengumumkan yang mereka akan lancarkan Fantasian untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC dengan judul “Fantasian Neo Dimension” pada akhir tahun ini.
Fantasian merupakan permainan JRPG yang dibangunkan oleh Mistwalker iaitu studio oleh Hironobu Sakaguchi (pencipta siri Final Fantasy). Ia sebelum ini dilancarkan untuk Apple Arcade sejak tahun 2021, tetapi versi baharu ini akan menyertakan lakonan suara dan pilihan tahap kesukaran.
Penceritaan permainan ini adalah berdasarkan Leo yang cuba mencari ayahnya yang hilang. Dia perlu menjelajah pelbagai dunia dan juga dimensi berbeza. Selepas kejadian di sebuah kawasan yang dikawal oleh robot, dia hilang ingatan dan hanya mempunyai memori mengenai watak bernama Kina. Selepas berjumpa dengan Kina, mereka bersama meneruskan pencarian dan kali ini untuk mengembalikan ingatan Leo di mana mereka akan menjelajah lebih 150 dunia berbeza.