Mattias Lilja iaitu CEO untuk Paradox Interactive melalui pengumuman di Paradox Forum telah mengatakan yang mereka membatalkan pembangunan untuk Life By You iaitu permainan simulasi kehidupan yang dibangunkan oleh Paradox Tectonic.
Menurut Mattias Lilja, selepas beberapa kali menunda permainan tersebut daripada dilancarkan secara akses awal, mereka dapati yang permainan tersebut masih mempunyai banyak kekurangan untuk menjadi satu permainan yang baik. Selepas menyedari yang mereka mungkin tidak dapat menjadikan permainan ini seperti yang diinginkan, adalah lebih baik untuk berhenti.
Life By You pertama kali diumumkan pada tahun lepas dan dikatakan sebagai permainan yang ingin mencabar The Sims di dalam genre ini. Paradox Tectonic sendiri diketuai oleh Rod Humble yang sebelum ini terlibat dengan permainan The Sims 2 serta mengetuai pembangunan The Sims 3 sebelum meninggalkan Maxis untuk menjadi CEO Linden Labs iaitu studio yang membangunkan Second Life.