SEGA ketika acara Summer Game Fest telah mengumumkan yang permainan Sonic x Shadow Generations akan dilancarkan pada 25 Oktober 2024 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC.
Mereka juga berkongsi treler baharu yang anda boleh tonton di bawah.
Di dalam permainan ini, Sonic dan Shadow akan menentang Black Doom iaitu musuh utama Shadow. Bagi mengalahkan musuhnya itu, Shadow perlu kembali ke masa lepas untuk menghadapi memori pahitnya bagi mendapat kuasa baharu.
Permainan ini juga akan menyertakan satu hab terbuka seperti yang diperkenalkan di dalam Sonic Frontiers yang membolehkan Shadow untuk mengembara dan mencari rahsia-rahsia di kawasan tersebut.
SEGA juga mengumumkan yang Sonic x Shadow untuk PlayStation dan Nintendo Switch akan menerima versi fizikal dan digital, manakala bagi Xbox dan PC hanya versi digital disediakan.